- Bagi pegawai yang bekerja secara giliran atau pusingan, Elaun Lebih Masa hendaklah berdasarkan kepada jadual waktu bekerja yang ditetapkan. Jika hari bekerja biasa syif pegawai ditetapkan dari Hari Selasa hingga hari Ahad, maka kerja lebih masa yang dijalankan pada hari Selasa hingga hari Ahad itu hendaklah dibayar Elaun Lebih Masa atas kadar hari bekerja biasa. Jika hari Isnin ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Mingguan pegawai, maka kerja-kerja lebih masa yang dijalankan pada hari Isnin itu hendaklah dibayar Elaun Lebih Masa atas kadar hari rehat biasa.
- Jika Hari Kelepasan Am jatuh pada hari giliran bertugas pegawai, maka hari giliran bertugas itu dikira sebagai Hari Kelepasan Am. Oleh itu, jika seseorang pegawai dikehendaki bertugas pada Hari Kelepasan Am itu, maka pegawai adalah layak menuntut Elaun Lebih Masa atas kadar Hari Kelepasan Am.
- Jika Hari Kelepasan Am jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka Hari Kelepasan Am itu adalah ditunda pada hari berikutnya. Contohnya, jika hari kelepasan mingguan pegawai yang bekerja secara giliran ditetapkan pada hari Rabu, dan Hari Kelepasan Am jatuh pada hari Rabu tersebut, maka Hari Kelepasan Am akan ditunda pada hari berikutnya, iaitu hari Khamis. Jika Ketua Jabatan menghendaki pegawai bertugas pada hari Rabu, maka pegawai adalah layak dibayar Elaun Lebih Masa atas kadar hari rehat biasa, dan jika pegawai dikehendaki bekerja pada hari Khamis itu, maka pegawai adalah layak dibayar Elaun Lebih Masa atas kadar Hari Kelepasan Am.