Berdasarkan Perkara 2, Pekeliling Perkhidmatan Bil. 7 Tahun 1990 (PP7/1990), penentuan kelayakan untuk membekalkan pakaian seragam adalah berdasarkan keperluan tugas jawatan tertentu. Pakaian seragam dibekalkan berdasarkan asas-asas berikut:
- sebagai lambang kuasa yang diperuntukkan kerana tugas jawatan yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang, memasuki kawasan, bangunan dan rumah-rumah untuk tujuan pemeriksaan. Pakaian seragam dibekalkan bagi tujuan pengenalan diri pegawai kepada orang yang terlibat semasa menjalankan tugas mereka, dan mereka dikehendaki memakai pakaian seragam sepanjang waktu bertugas. Kakitangan yang terlibat adalah seperti Pengawal Keselamatan, Pembaca Meter, Jururawat dan Ahli Bomba;
- bagi tujuan perlindungan dan keselamatan diri kakitangan daripada percikan bahan-bahan kimia dan kekotoran semasa bertugas. Kakitangan terlibat dengan bidang tugas ini adalah seperti pekerja makmal, pekerja bengkel, pekerja am di luar pejabat dan wad rawatan pesakit; dan
- bagi tujuan kebersihan dan rupa. Hal ini melibatkan kakitangan seperti Pemandu dan Pembantu Am Rendah.