Isnin, 28 September 2020
10 Safar 1442

Pemakluman Kepada Pelajar Tajaan JPA Di Luar Negara

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.

JPA maklum dan sangat prihatin  berkaitan dengan penularan pendemik covid 19 di seluruh dunia. Perkara tersebut menjadi kebimbangan kerajaan dan seluruh masyarakat dunia. Malah, kerisauan semakin bertambah dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang belajar di luar negara.

2. Untuk makluman, Kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam menangani permasalahan ini. Tidak terkecuali terhadap rakyat Malaysia yang berada di luar negara. Melalui Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan (PPL), JPA yang beroperasi di lapan (8) buah negara, pemantauan pegawai/pelajar dilaksanakan dengan begitu rapi melalui pelaporan pada setiap hari. Semua pegawai/pelajar di luar negara, dinasihatkan untuk kekal berada di rumah di negara pengajian masing-masing. Pegawai/pelajar diingatkan supaya bertenang, tidak panik, menjaga kesihatan diri dan mematuhi segala arahan universiti, pihak berkuasa tempatan di negara pengajian serta berhubung rapat dengan kedutaan Malaysia.

3. Pada masa ini, belum ada keperluan untuk membawa balik warganegara Malaysia yang berada di luar negara, melainkan ada arahan daripada negara berkaitan yang mengarahkan warganegara asing meninggalkan negara mereka.
Sekian, terima kasih

Bahagian Pembangunan Modal Insan (BMI)
Jabatan Perkhidmatan Awam, Malaysia