Skip to main content

Pencen - Tuntutan Perubatan / Perjalanan

Soalan Lazim

Tuntutan Perubatan / Perjalanan

1. Siapakah yang layak memohon perbelanjaan bagi kemudahan perubatan?

Pesara Awam Persekutuan, ahli keluarga yang layak iaitu suami/ isteri dan anak yang berumur di bawah 18 tahun atau yang masih bersekolah di bawah umur 21 tahun atau anak-anak daif yang disebabkan oleh kelemahan otak atau jasmani.

2. Adakah pesara pihak berkuasa berkanun dan tempatan layak memohon perbelanjaan bagi kemudahan perubatan?

Peraturan permohonan perbelanjaan kemudahan perubatan kepada pesara & ahli tanggungan yang layak adalah tertakluk kepada CERAIAN SR.2.1.1 Permohonan Perbelanjaan Bagi Kemudahan Perubatan . Walau bagaimanapun, pemakaian ceraian tersebut kepada Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan adalah tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.

3. Apakah kemudahan perubatan yang boleh dituntut oleh pesara awam persekutuan?

Pembekalan ubat, pembekalan alat perubatan, rawatan buah pinggang, rawatan kepakaran di hospital swasta, rawatan kecemasan di hospital swasta, rawatan kemandulan, rawatan di IJN dan rawatan di luar negeri.

4. Bagaimanakah tuntutan perbelanjaan bagi pembekalan ubat / peralatan perubatan boleh dibuat?

Pesara perlu mendapatkan rawatan dan kemudahan perubatan di hospital/klinik kerajaan dan mendapat perakuan/pengesahan oleh Pegawai/ Pakar Perubatan. Borang yang perlu diisi ialah Borang Perubatan 1/09 berserta dokumen kewangan (bil rawatan, resit, invois, sebut harga dan sebagainya).

5. Apakah kelayakan tuntutan perjalanan bagi tujuan mendapatkan rawatan?

Sekiranya seseorang pegawai perubatan tempatan mengesahkan bahawa seseorang Pesara itu atau keluarganya perlu mendapat rawatan dari pegawai-pegawai perubatan di tempat lain, maka dia atau keluarganya boleh menuntut elaun-elaun yang layak dituntut oleh pegawai yang sedang berkhidmat kerana menjalankan tugas rasmi seolah-olah dia atau keluarganya di dalam perjalanan kerana urusan rasmi.