Skip to main content

Sejarah KPPA

Meniti Sejarah

Pada tahun 1967, Pejabat Perjawatan Persekutuan telah ditukar nama kepada Establishment Office of Malaysia. Nama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pula mula diguna pakai pada 15 Ogos 1968. Dari zaman Sir John Huggins pada tahun 1934, gelaran yang digunakan selaku Ketua Perkhidmatan Pentadbiran pada ketika itu ialah Malayan Establishment Officer

Manakala semasa A.J. Gracie memegang jawatan tersebut pada tahun 1954, gelaran diubah kepada Federation Establishment Officer. Setelah H.G. Turner menggantikan Gracie pada tahun 1957 sehingga Tan Sri Ahmad Hj. Husin menyandang jawatan Ketua Perkhidmatan sektor awam pada tahun 1960, gelaran yang digunakan dikenali sebagai Principal Establishment Officer (P.E.O)

Namun demikian, bermula tahun 1962 gelaran ini telah diubah kepada Ketua Pegawai Perjawatan sehingga tahun 1967 iaitu pada masa Tunku Mohamed Tunku Besar Burhanuddin menerajui perkhidmatan awam. Semasa Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin memegang tampuk kepimpinan, gelaran ini telah diubah sekali lagi kepada Pengarah Perjawatan Malaysia pada tahun 1968. 

Seterusnya, ia telah ditukar kepada gelaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) seperti yang digunakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1968 bertarikh 7 Oktober 1968 dan gelaran ini diguna pakai sehingga kini. Sejak 1 Julai 1954, JPA telah diterajui oleh 25 orang Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.