MBJ & MBK
Soalan Lazim
Majlis Bersama Kebangsaan
Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) adalah platform rasmi hubungan majikan-pekerja dalam Pekhidmatan Awam yang disediakan oleh Kerajaan melibatkan Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja bagi membincangkan perkara-perkara yang termasuk di dalam bidang kuasanya. Pelaksanaan MBK adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2020 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021.
MBK mula ditubuhkan pada tahun 1973 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 1973 bagi menggantikan Majlis-majlis Kebangsaan Whitley Pekerja-pekerja Bahagian I-IV dan Kumpulan Perusahaan dan Buruh Kasar, Majlis Bersama Kebangsaan bagi Guru-guru, Majlis-majlis Whitley Sabah dan Sarawak, Majlis-majlis Whitley Jabatan, Jawatankuasa-jawatankuasa Perhubungan dan Majlis-majlis Bersama Badan-badan Berkanun dan Kuasa-kuasa Tempatan. Tiga (3) MBK yang ditubuhkan pada 1973 adalah:
- Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam termasuk Perkhidmatan Pelajaran;
- Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Badan-badan Berkanun termasuk Kuasa-kuasa Tempatan; dan
- Majlis Bersama Kebangsaan bagi Perkhidmatan Polis.
Pada tahun 1979, pelaksanaan MBK telah disemak semula bagi memperluaskan penyertaan Pihak Pekerja melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1979. Sehubungan dengan itu ketiga-tiga MBK sedia ada telah dibubar dan digantikan dengan lima (5) MBK seperti berikut:
- Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam selain daripada Pekerja-pekerja Kumpulan Rendah dan Buruh Kasar;
- Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Pelajaran;
- Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Badan-badan Berkanun;
- Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Kuasa-kuasa Tempatan; dan
- Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Kumpulan Rendah dan Buruh Kasar dalam Perkhidmatan Awam.
Pada tahun 1992, MBK sedia ada telah disusun semula melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1992 selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SSB). Perubahan struktur MBK dengan penubuhan tiga (3) MBK bagi menggantikan lima (5) MBK sedia ada adalah seperti berikut:
- Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja Pengurusan dan Profesional (MBK P&P);
- Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja Sains dan Teknologi dalam Kumpulan Pelaksana (MBK S&T); dan
- Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja Am Dalam Kumpulan Pelaksana (MBK Am)
Setelah 28 tahun, MBK telah disemak semula dan ditambah baik bagi memastikan dasar hubungan majikan-pekerja Pekhidmatan Awam kekal relevan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan melalui Pekeliling Pekhidmatan Bilangan 6 Tahun 2020 telah bersetuju mengekalkan struktur MBK sedia ada dengan beberapa penambahbaikan. Antara penambahbaikan yang dilaksanakan adalah melibatkan keahlian Pihak Pegawai, penubuhan Jawatankuasa Kerja MBK dan mewujudkan pelepasan khas hari bekerja sebanyak satu (1) hari sebulan kepada Pengerusi dan Setiausaha bagi tujuan melaksanakan urusan berkaitan MBK dan penggunaan geran tahunan MBK diperluaskan kepada pelaksanaan program/bengkel/seminar Pihak Pekerja MBK.
- Memberi pendapat dan membincangkan prinsip-prinsip saraan, elaun, kemudahan dan syarat-syarat perkhidmatan bagi pekerja-pekerja Perkhidmatan Awam. Perbincangan hendaklah menyentuh perkara-perkara am dan tidak perkara-perkara yang melibatkan pekerja individu;
- Membolehkan Pihak Pekerja mengemukakan sebarang cadangan perubahan untuk mendapat ulasan dan pandangan Pihak Pegawai bagi pertimbangan Kerajaan; dan
- Memberi cadangan mengenai inisiatif inovasi dan produktiviti dalam meningkatkan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam.
Peraturan penubuhan MBK adalah tertakluk kepada perlembagaan MBK masing-masing sebagaimana di Lampiran A (MBK P&P), Lampiran B (MBK S&T) dan Lampiran C (MBK Am) dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2020.
Struktur MBK terdiri daripada:
- Ahli Pihak Pegawai
- Ahli Tetap - TerdiriTetap Pihak Pegawai dilantik oleh YAB Perdana Menteri Malaysia di atas jawatan masing-masing iaitu:
- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Jabatan Perkhidmatan Awam - Pengerusi
- Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam - Ahli
- Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia - Ahli
- Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia - Ahli
- Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan - Ahli
- Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Ahli
- Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan - Ahli
- Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya - Ahli
- Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan - Ahli
- Ketua Bahagian/Unit yang menguruskan hubungan majikan-pekerja Perkhidmatan Awam - Setiausaha Pihak Pegawai
- Ahli Tidak Tetap - Terdiri daripada pegawai terkanan kementerian/agensi termasuk bahagian-bahagian di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dijemput berdasarkan kepada keperluan mengikut isu-isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat
- Ahli Pihak Pekerja Ahli Pihak Pekerja MBK dipilih melalui konvensyen pemilihan Pihak Pekerja yang diadakan dua (2) tahun sekali (dwi-tahunan) oleh wakil kesatuan-kesatuan sekerja dan persatuan- persatuan yang bergabung dengan MBK berkenaan. Tempoh
- perkhidmatan adalah selama dua (2) tahun bermula daripada tarikh satu-satu Majlis itu mengadakan mesyuaratnya yang pertama. Ahli-ahli tersebut boleh terus memegang jawatan sehingga ahli-ahli yang akan mengambil alih telah dilantik/dipilih.
Konvensyen Dwi-tahunan dilaksanakan oleh Pihak Pekerja berdasarkan peraturan-peraturan tertentu bagi memilih ahli Pihak Pekerja MBK mewakili kesatuan/persatuan dalam Pekhidmatan Awam.
Tiap-tiap kesatuan sekerja dan persatuan yang berdaftar dengan pihak pendaftar Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan bergabung dengan MBK berkenaan dibenarkan menghantar seorang wakil bagi tiap-tiap 500 orang ahli yang pertama dan seorang wakil tambahan bagi setiap 500 orang ahli di atas bakinya.
Ahli-ahli berkenaan adalah yang telah membayar yuran mengikut Laporan Tahunan yang lalu yang disiarkan oleh pihak Pendaftar. Wakil-wakil tambahan ini dibenarkan mengambil bahagian dalam konvensyen tersebut hanya selepas menjelaskan pembayaran yang tertentu dan didaftarkan oleh pihak pengelola (Pihak Pekerja MBK).
Majlis Bersama Jabatan
Majlis Bersama Jabatan (MBJ) ialah sebuah medium dua hala, di mana Pihak Pekerja diberi saluran untuk berkomunikasi dengan Pihak Pengurusan dalam menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea-idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan organisasi.
Semua agensi Kerajaan yang mengendalikan secara langsung urusan pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan hal ehwal kewangan serta mempunyai kuasa untuk menimbang dan membuat keputusan ke atas perkara-perkara tersebut adalah dikehendaki menubuhkan MBJ. Bagi tujuan penubuhan MBJ, satu draf perlembagaan yang telah dipersetujui oleh Pihak Pengurusan dan Pihak Pekerja perlu digubal terlebih dahulu dan hendaklah dikemukakan; kepada JPA untuk kelulusan.
Skop, bidang dan fungsi MBJ lebih menitikberatkan kepada kepentingan pekerja-pekerja dalam sesebuah organisasi. Di samping bertujuan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak pekerja, ia juga boleh dijadikan sebagai satu forum perbincangan di antara pihak pengurusan dan pekerja. MBJ yang aktif secara tidak langsung akan dapat menyemai semangat bekerja di kalangan pekerja untuk berkhidmat dengan lebih dedikasi dan produktif.
Perkara yang boleh dibincang adalah meliputi semua perkara yang berkaitan dengan keadaan bekerja kecuali yang menyentuh dasar kerajaan atau hal-hal peribadi. Walau bagaimanapun, isu berkaitan dasar boleh dibincangkan dengan tujuan menerangkan pelaksanaanya sahaja. Antara perkara-perkara yang boleh dibincangkan di dalam forum meliputi isu elaun dan kemudahan, kewangan, perkhidmatan, skim perkhidmatan dan perjawatan, kebajikan, pentadbiran dan hal-hal lain.
Di antara faedah yang boleh didapati daripada mesyuarat MBJ ialah dapat mewujudkan hubungan dan sikap yang positif antara pihak pengurusan dan pihak pekerja,kepuasan hati, peningkatan daya pengeluaran, peningkatan kualiti kerja, penjimatan kos, kemajuan pekerja, sikap hormat menghormati, penyelesaian masalah, kesetiaan kepada organisasi, dan perpaduan.
Semua jabatan kerajaan yang mengendalikan secara langsung urusan pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan hal ehwal kewangan perlu menubuhkan MBJ. Syarat penubuhan ini tidak terikat dengan jumlah kakitangan di sesebuah jabatan.
Bagi jabatan yang memenuhi syarat penubuhan MBJ, mesyuarat tersebut perlu dilaksanakan mengikut kaedah dan peraturan yang ditetapkan. MBJ ditubuhkan dengan format yang khusus bagi memastikan komunikasi dua (2) hala berlaku di antara Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja dalam mesyuarat untuk mencapai persetujuan bersama ke atas isu-isu berbangkit.
Selain daripada dasar Kerajaan, hal-hal perseorangan atau masalah peribadi juga tidak boleh dibincangkan dalam mesyuarat MBJ dan hendaklah diselesaikan secara pentadbiran sahaja. Perbincangan MBJ hendaklah ditumpukan kepada perkara-perkara yang melibatkan kepentingan bersama (commoninterest).
Agensi Induk memerlukan salinan minit mesyuarat MBJ jabatan-jabatan di bawah seliaannya bagi memantau keaktifan dan memberi perhatian ke atas isu-isu dibincangkan serta menyediakan laporan kepada pihak JPA. Salinan minit berkenaan turut diperlukan JPA bagi menyemak keabsahan laporan yang dikemukakan oleh Agensi Induk.
Ahli-ahli MBJ yang dijemput menghadiri mesyuarat dibenarkan membuat tuntutan elaun perjalanan dan bayaran lain seperti mana yang dibenarkan semasa menjalankan tugas rasmi mengikut kelayakan masing-masing.
Ya, keahlian Pihak Pekerja adalah wakil pekerja-pekerja di jabatan terbabit, Gred 48 dan ke bawah, tidak terlibat dalam membuat keputusan, bukan merupakan Ketua Bahagian/Unit dan dipilih oleh pekerja-pekerja itu sendiri. Keahliannya adalah terhad kepada komposisi yang terdapat dalam perlembagaan MBJ yang diluluskan.
Penilaian prestasi keaktifan MBJ bagi negeri-negeri dan peringkat persekutuan hanya melibatkan senarai agensi yang dipantau oleh JPA sahaja. Bagi agensi-agensi yang tidak dipantau seperti pejabat-pejabat daerah dan tanah, pelaksanaan MBJ boleh diteruskan dan dipantau oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Istilah “pegawai-pegawai yang bergaji” di dalam perlembagaan MBJ bermaksud pegawai-pegawai yang berkhidmat di agensi tersebut, meliputi pegawai lantikan tetap, kontrak, peminjaman, kader dan lain-lain.
Keahlian Pihak Pekerja di dalam perlembagaan MBJ boleh dipilih mengikut bahagian/gred/skim perkhidmatan mengikut kesesuaian keanggotaan di agensi berkenaan. Jumlah keahlian perlu dinyatakan agar kuota mesyuarat MBJ dapat ditentukan, seterusnya memastikan pelaksanaan mesyuarat MBJ agensi mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Sebarang pindaan ke atas perlembagaan MBJ perlu terlebih dahulu dikemukakan kepada JPA untuk kelulusan.
Pengurusan Prestasi
Punca Kuasa, Prinsip Dan Tujuan
1. Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2002 : Pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia Bagi Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan - Lampiran A2 dan Lampiran A3; dan
2. Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2009: Pemantapan Pengurusan Sistem Penilaian Prestasi Pegawai Perkhidmatan Awam
3. Surat Edaran JPA - Pengurusan Prestasi Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Secara Dual System bagi Tahun Penilaian 2022 dan 2023
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2002, prinsip utama dalam melaksanakan penilaian prestasi adalah seperti berikut:
a. Pelaksanaan penilaian prestasi secara objektif, adil dan telus;
b. Berasaskan kepada mutu penghasilan kerja dan tingkah laku PYD ke arah
pencapaian objektif organisasi; dan
c. Menggalakkan persaingan positif bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti.
Tujuan utama sistem penilaian prestasi adalah bagi:
(i) membolehkan prestasi kerja dinilai dengan lebih sistematik dan meyakinkan;
(ii) membolehkan ketua perkhidmatan melaksanakan sistem penilaian prestasi mengikut kesesuaian perkhidmatan tertentu;
(iii) membolehkan sistem penilaian prestasi digunakan dalam pelbagai fungsi pengurusan sumber manusia seperti kemajuan kerjaya, penempatan dan latihan; dan
(iv) meningkatkan penglibatan ketua jabatan dan semua peringkat pegawai penyelia dalam proses penilaian prestasi.