Skip to main content

Kemudahan Waktu Bekerja

Soalan Lazim

Waktu Bekerja Fleksi (WBF)

1. Jika seorang pegawai mengetik kehadiran masuk melepasi pukul 9.00 pagi, sebagai contoh pukul 9.15 pagi: Adakah pegawai tersebut perlu mencukupkan jumlah jam bekerja sehari?

Sekiranya pegawai mengetik kehadiran masuk melebihi pukul 9.00 pagi, pegawai dianggap lewat hadir ke pejabat. Walau bagaimanapun pegawai tersebut dibenarkan pulang selepas waktu pejabat bergantung kepada hari dan tempoh waktu pejabat di negeri masing-masing.

2. Jika seseorang pegawai dikehendaki menghadiri suatu raptai perbarisan di luar pejabat pada pukul 7.00 pagi dan kemudiannya pegawai kembali ke pejabat, pukul berapakah pegawai dibenarkan pulang?

Sekiranya raptai perbarisan bermula pada pukul 7.00 pagi (ianya perlu disahkan oleh Ketua Jabatan) pegawai dianggap telah mengetik kehadiran masuk pada pukul 7.30 pagi dan pegawai tersebut dibenarkan pulang selepas waktu pejabat bergantung kepada hari dan tempoh waktu pejabat di negeri masing-masing.

3. Pada bulan ramadan, adakah pegawai masih dibenarkan pulang setengah jam awal?

Pada bulan Ramadan, pegawai boleh dipertimbangkan untuk pulang setengah jam awal dengan syarat waktu rehat juga dikurangkan selama 30 minit seperti yang diperuntukkan dalam peraturan yang berkuat kuasa.

4. Adakah WBF bulan ramadan juga terpakai untuk pegawai bukan beragama Islam?

WBF bulan Ramadan juga terpakai untuk pegawai bukan beragama Islam tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan.

7. Pegawai diarahkan menghadiri tugasan rasmi di luar pejabat (dalam stesen iaitu kurang 25 km). pegawai tidak mengetik waktu masuk serta terus ke tempat bertugas rasminya. pegawai kembali ke pejabat setelah selesai tugas rasmi tersebut. pukul berapakah pegawai boleh pulang dari pejabat sekiranya: (i) Tugas rasmi bermula sebelum pukul 7.30 pagi? (ii) Tugas rasmi bermula di antara pukul 7.30 pagi hingga 9.00 pagi? (iii) Tugas rasmi bermula selepas pukul 9.00 pagi?

(i) Jika tugasan rasmi bermula sebelum pukul 7.30 pagi, waktu pulang pegawai adalah pukul 4.30 petang.
(ii) Jika tugasan rasmi bermula di antara pukul 7.30 pagi hingga 9.00 pagi, waktu pulang pegawai adalah antara pukul 4.30 petang hingga 6.00 petang dengan syarat memenuhi tempoh waktu bekerja sehari.
(iii) Jika tugasan rasmi bermula selepas pukul 9.00 pagi, waktu pulang pegawai adalah pukul 6.00 petang.

8. Adakah WBF terpakai kepada pegawai yang berkhidmat di sekolah/klinik kesihatan/ibu pejabat polis?

Ya. WBF terpakai kepada semua pegawai yang berkhidmat di sekolah/klinik kesihatan/ibu pejabat polis yang mengguna pakai WBB sebelum ini.

12. Pegawai mempunyai urusan peribadi yang mustahak pada pukul 8.00 pagi (13 Ogos 2019). Pada petang 12 Ogos 2019, pegawai telah mengisi borang Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja Di bawah Perintah Am 5 Bab G (Waktu Bekerja dan Lebihmasa) 1974 bagi urusan tersebut. Pegawai telah mendapat kelulusan pelepasan meninggalkan pejabat daripada pegawai atasan bermula pukul 8.00 pagi hingga 11.30 pagi (13 Ogos 2019). Pukul berapakah pegawai dibenarkan pulang hari tersebut?

A. Sekiranya pegawai tidak mengetik kehadiran masuk pejabat di antara pukul 7.30 pagi hingga 9.00 pagi, waktu pulang pegawai adalah pada pukul 6.00 petang.

Dalam hal ini, pelepasan pegawai dikira bagi tempoh 9.01 minit pagi hingga 11.30 pagi. Tempoh waktu masuk antara pukul 7.30 pagi hingga 9.00 pagi adalah merupakan fleksibiliti 1 jam 30 minit kepada pegawai untuk menggunakan waktu tersebut bagi urusan peribadi sebelum masuk pejabat. Oleh itu, tidak berbangkit kebenaran pelepasan meninggalkan pejabat bagi tempoh tersebut.

B. Sekiranya pegawai mengetik kehadiran masuk pejabat pukul 7.30 pagi, waktu pulang pegawai adalah pada pukul 4.30 petang.

Dalam kes ini, pegawai telah masuk ke pejabat bagi memulakan tugas pada pukul 7.30 pagi dan keluar pejabat pada pukul 8.00 pagi atas urusan peribadi mengikut tempoh kebenaran yang telah diluluskan oleh Ketua Jabatan.

Nota: Bagi Kebenaran Keluar Pejabat mengikut borang di Lembaran SR.4.2.2(A) melalui Ceraian SR. 4.2.2 : Peraturan Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja Di Bawah Perintah Am Bab G – Mematuhi Waktu Bekerja, Ketua Jabatan boleh menetapkan bahawa pegawai perlu menggantikan semula tempoh waktu bekerja yang telah digunakan untuk tujuan menyelesaikan tugas hakikinya supaya penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.

13. Pegawai mempunyai temujanji doktor di hospital pada pukul 8.30 pagi. pegawai telah mendapat kebenaran keluar pejabat dari pegawai atasan dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Bilakah waktu pulang pegawai?
  1. Sekiranya pegawai tidak mengetik kehadiran masuk pejabat dan bertugas di antara pukul 7.30 pagi hingga 9.00 pagi, waktu pulang pegawai adalah pada pukul 6.00 petang. Dalam perkara ini, kebenaran keluar pejabat pegawai dikira dari pukul 9.01 pagi.
    Dalam hal ini, pelepasan pegawai dikira bagi tempoh 9.01 minit pagi hingga 12.00 tengah hari. Tempoh waktu masuk antara pukul 7.30 pagi hingga 9.00 pagi adalah merupakan fleksibiliti 1 jam 30 minit kepada pegawai untuk menggunakan waktu tersebut bagi urusan peribadi sebelum masuk pejabat. Oleh itu, tidak berbangkit kebenaran pelepasan meninggalkan pejabat bagi tempoh tersebut.

    ‘Time Slip’ bukanlah satu bukti waktu masuk ke pejabat bagi seseorang pegawai tetapi ia merupakan pengesahan pegawai mendapatkan rawatan di klinik/hospital berkenaan dalam tempoh tersebut.

    Perenggan 1e, Lampiran SR.4.2.2(A), Ceraian SR.4.2.2 Peraturan Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja Di Bawah Perintah Am 5 Bab G - Mematuhi Waktu Bekerja menyatakan ‘pegawai yang mendapatkan rawatan untuk diri sendiri di klinik/ hospital dikehendaki mengemukakan ‘time slip’ atau sebarang dokumen daripada pegawai perubatan atau doktor untuk mengesahkan bahawa pegawai mendapatkan rawatan di klinik/ hospital berkenaan dalam tempoh tersebut’.

  2. Sekiranya pengawai mengetik kehadiran masuk pejabat pada pukul 7.45 pagi, waktu pulang pegawai adalah pada pukul 4.45 petang. Dalam hal ini, pegawai telah masuk ke pejabat bagi memulakan tugas pada pukul 7.45 pagi dan keluar pejabat pukul 8.00 pagi atas urusan peribadi mengikut tempoh kebenaran yang telah diluluskan oleh Ketua Jabatan.

    Nota: Bagi Kebenaran Keluar Pejabat mengikut borang di Lembaran SR.4.2.2(A) melalui Ceraian SR. 4.2.2 : Peraturan Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja Di Bawah Perintah Am Bab G – Mematuhi Waktu Bekerja, Ketua Jabatan boleh menetapkan bahawa pegawai perlu menggantikan semula tempoh waktu bekerja yang telah digunakan untuk tujuan menyelesaikan tugas hakikinya supaya penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.

15. Bolehkah seseorang pegawai atasan memberi kelulusan keluar pejabat bagi pegawai untuk urusan peribadi atau klinik antara pukul 7.30 pagi hingga 9.00 pagi sekiranya pegawai tidak mengetik dalam tempoh masuk bekerja?

Sekiranya Ketua Jabatan telah memberi kelulusan keluar pejabat antara pukul 7.30 pagi hingga 9.00 pagi, tempoh kebenaran pelepasan hanya akan diambil kira mulai pukul 9.01 pagi sekiranya pegawai tidak mengetik masuk pejabat dan waktu pulang pegawai pada hari tersebut ialah pada pukul 6.00 petang.

16. Bilakah cuti tanpa rekod (CTR) bagi urusan kematian ahli keluarga terdekat pegawai bermula semasa pelaksanaan WBF, sekiranya seorang ahli keluarga terdekat pegawai telah meninggal dunia pada hari bekerja iaitu: (i) Pada pukul 2.00 petang? (ii) Pada pukul 4.45 petang dan waktu pulang pegawai adalah pada pukul 4.32 petang? (iii) Pada pukul 6.35 petang?

Waktu pejabat bagi WBF adalah bermula pukul 7.30 pagi hingga 6.00 petang KECUALI pada hari Khamis di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor iaitu bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang. Bagi kes i. dan ii., CTR pegawai adalah bermula pada tarikh yang sama berlaku kematian ahli keluarga terdekat kerana kematian berlaku dalam waktu pejabat kecuali pada hari Khamis di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, CTR pegawai bermula pada keesokan harinya. Bagi kes iii., CTR pegawai adalah pada hari berikutnya kerana masa kematian tersebut adalah selepas waktu pejabat.

17. Cuti tanpa rekod kemudahan isteri bersalin kepada pegawai lelaki. Bilakah cuti tanpa rekod (CTR) kemudahan isteri bersalin kepada pegawai lelaki bermula semasa pelaksanaan WBF sekiranya isteri pegawai bersalin pada hari bekerja iaitu: (i) Pada pukul 2.00 petang? (ii) Pada pukul 4.45 petang dan waktu pulang pegawai adalah pada pukul 4.32 petang? (iii) Pada pukul 6.44 petang

Waktu pejabat bagi WBF adalah bermula pukul 7.30 pagi hingga 6.00 petang kecuali pada hari Khamis di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor iaitu bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang.
(i) sekiranya isteri pegawai bersalin pada pukul 2.00 petang, CTR pegawai adalah bermula pada tarikh yang sama kerana isteri pegawai bersalin dalam waktu pejabat.
(ii) sekiranya isteri pegawai bersalin pada pukul 4.45 petang, CTR pegawai adalah bermula pada tarikh yang sama kerana isteri pegawai bersalin dalam waktu pejabat kecuali pada hari Khamis di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, CTR pegawai bermula pada keesokan harinya.
(iii) sekiranya isteri pegawai bersalin pada pukul 6.44 petang, CTR pegawai adalah pada hari berikutnya kerana masa bersalin tersebut adalah selepas waktu pejabat.

18. Adakah pegawai yang bertugas di kaunter, di mana waktu operasi kaunter bermula pada pukul 7.30 pagi boleh mengguna pakai waktu masuk WBF?

WBF terpakai kepada semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang mengguna pakai WBB.
Pegawai boleh memulakan tugas pada bila-bila masa antara pukul 7.30 pagi hingga 9.00 pagi. Walau bagaimanapun, demi kepentingan perkhidmatan, Ketua Jabatan boleh mengarahkan pegawai untuk memulakan tugas pada sesuatu masa yang dikehendaki dalam tempoh masa tersebut.

Dasar Bekerja Dari Rumah

1. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah ‘Rumah’ dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR.4.1.2 – Dasar Bekerja Dari Rumah?

Rumah yang dimaksudkan merujuk kepada rumah kediaman pegawai berdasarkan alamat yang didaftarkan dalam sistem HRMIS. Alamat rumah pegawai juga hendaklah sama dalam sistem yang digunakan oleh kementerian/ jabatan bagi merekodkan kehadiran dan tugasan pegawai yang Bekerja Dari Rumah (BDR).

2. Adakah pegawai yang bertugas di Putrajaya boleh diarahkan BDR di kampung halamannya di Pulau Pinang?

Tidak boleh.
Pegawai hendaklah kekal berada di kediaman pegawai seperti mana didaftarkan dalam sistem HRMIS.

Ketua Jabatan hendaklah memastikan peraturan-peraturan BDR adalah dipatuhi iaitu:-

  1. Sentiasa berada di Rumah sebagai tempat bekerja dalam tempoh waktu bekerja yang ditetapkan
  2. Sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh, hari dan waktu bekerjanya;
  3. Sentiasa bersedia untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain yang diarahkan oleh Ketua Jabatan dalam tempoh yang munasabah; dan
  4. Semua undang-undang, peraturan, pekeliling dan arahan yang berkuat kuasa terpakai kepada pegawai awam dari semasa ke semasa, termasuk, antara lain, tetapi tidak terhad kepada:
    1. Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88];
    2. Arahan Keselamatan.;
    3. Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993]; dan
    4. Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].
3. Adakah pegawai yang bekerja mengikut waktu bekerja giliran (Syif) boleh diarahkan BDR separuh hari oleh Ketua Jabatan?

Ketua Jabatan atas budi bicaranya boleh mengarahkan atau mempertimbangkan pegawai yang bekerja secara syif untuk BDR separuh hari tertakluk kepada tujuan BDR dan tanpa menjejaskan kepentingan perkhidmatan.

4. Apakah status kehadiran pegawai sekiranya pegawai telah diarahkan BDR separuh hari di sebelah pagi dan tidak melaporkan diri ke pejabat pada sebelah petang?

Pegawai dianggap tidak hadir bertugas dan hendaklah diuruskan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] dan pindaannya dari semasa ke semasa.

5. Bolehkah pegawai yang BDR di sebelah pagi menggunakan kemudahan Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja pada sebelah petang bagi menyelesaikan urusan peribadi.

Boleh.

Pegawai yang BDR boleh menggunakan kemudahan kebenaran keluar pejabat pada sebelah petang atau pagi tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Kebenaran meninggalkan pejabat dalam waktu bekerja dan BDR adalah dua (2) perkara yang berbeza.

6. Apakah status pegawai yang diarahkan BDR tetapi tidak berada di alamat yang didaftarkan dalam HRMIS namun telah melaksanakan tugas di tempat lain?

Pegawai dianggap tidak hadir bertugas dan hendaklah diuruskan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U(A) 395/1993] dan pindaannya dari semasa ke semasa.

7. Apakah yang dimaksudkan dengan pegawai sambilan?

Pegawai sambilan adalah pekerja yang diambil untuk melaksanakan sesuatu tugas iaitu melaksanakan tugas-tugas yang bersifat projek/ program, ad hoc atau tugas bermusim (seasonal). Contohnya Guru Interim, Pekerja Sambilan Harian dan Personel MySTEP.

8. Adakah pegawai yang diberi sijil sakit boleh diarahkan BDR?

Kelulusan Cuti Sakit adalah tertakluk kepada Ketua Jabatan (Perkara 15, 17 dan 53 Perintah Am Bab C). Sekiranya Ketua Jabatan telah meluluskan Cuti Sakit kepada pegawai, maka pegawai tidak boleh BDR.

9. Adakah pegawai yang menanggung kerja atau dalam pemangkuan boleh diarahkan BDR?

Ketua Jabatan boleh mengarahkan atau mempertimbangkan mana-mana pegawai yang menanggung kerja atau dalam pemangkuan untuk BDR tertakluk kepada kelayakan dan syarat-syarat BDR yang berkuat kuasa.

10. Adakah Ketua Jabatan boleh mengarahkan pegawai untuk BDR bagi tujuan untuk menjaga anaknya selepas tamat tempoh Cuti Bersalin?

Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan pegawai untuk BDR selepas tamat tempoh Cuti Bersalin. Namun, ianya tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan dan keperluan kelangsungan tugasan yang perlu dilaksanakan oleh pegawai. Ketua Jabatan hendaklah mematuhi peraturan-peraturan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR.4.1.2 – Dasar Bekerja Dari Rumah.

11. Adakah Ketua Jabatan boleh mengarahkan pegawai untuk BDR bagi tujuan menjaga ahli keluarga yang sakit di hospital?

Tidak boleh.
Ketua Jabatan tidak boleh mengarahkan pegawai untuk BDR bagi tujuan tersebut. Pegawai boleh memohon menggunakan kemudahan Cuti Rehat, Cuti Separuh Gaji atau Cuti Tanpa Gaji yang dilayaki oleh pegawai.

12. Adakah Ketua Jabatan boleh mengarahkan pegawai yang sedang menggunakan kemudahan Cuti Menjaga Anak yang Dikuarantin atau Memerlukan Pengasingan untuk BDR?

Tidak boleh.
Ketua Jabatan tidak boleh mengarahkan BDR kepada pegawai yang telah diluluskan kemudahan Cuti Menjaga Anak yang Dikuarantin atau Memerlukan Pengasingan di bawah peruntukan MyPPSM Ceraian SR.5.4.4.

13. Adakah Ketua Jabatan boleh mengarahkan pegawai untuk BDR sekiranya pejabat/ premisnya mengalami gangguan utiliti?

Boleh.
Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan pegawai untuk BDR sekiranya pejabat/ premis mereka bekerja mengalami gangguan utiliti yang boleh menganggu penyampaian perkhidmatan di pejabat/ premis tersebut.

14. Adakah Ketua Jabatan boleh mengarahkan pegawai yang kematian suami atau isteri untuk BDR?

Ketua Jabatan adalah diwajibkan untuk mengarahkan pegawai yang kematian suami atau isteri untuk BDR sebaik sahaja tempoh tiga (3) hari Cuti Tanpa Rekod (CTR) sebagaimana yang diperuntukkan dalam MyPPSM Ceraian SR.5.2.1 telah digunakan.

Ketua Jabatan juga hendaklah menetapkan tugasan yang bersesuaian dan memantau pelaksanaan tugasan tersebut.

15. Bilakah arahan BDR boleh dikeluarkan oleh Ketua Jabatan untuk pegawai yang kematian suami atau isteri untuk BDR?

Arahan BDR boleh dikeluarkan oleh Ketua Jabatan sebaik sahaja tempoh Cuti Tanpa Rekod (CTR) sebagaimana yang diperuntukkan dalam MyPPSM Ceraian SR.5.2.1 telah digunakan.

16. Berapa lamakah tempoh BDR yang layak bagi pegawai yang kematian suami atau isteri?

Tempoh pemberian BDR hendaklah yang bersesuaian dan tidak melebihi dua (2) minggu termasuk Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am.

17. Apakah yang dimaksudkan dengan perkhidmatan penting Kementerian/ Jabatan?

Setiap kementerian/ jabatan mempunyai fungsi yang berbeza. Adalah menjadi tanggungjawab Ketua Jabatan menetapkan jenis perkhidmatan penting berdasarkan penetapan perkhidmatan penting oleh Kerajaan dari semasa ke semasa dalam memastikan kelancaran dan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

18. Adakah kelulusan khas BDR yang telah diberikan kepada agensi tertentu sebelum berkuat kuasa pekeliling perkhidmatan ini masih boleh diteruskan?

Semua kelulusan khas BDR yang telah diberikan terdahulu adalah terbatal mulai tarikh kuat kuasanya peraturan BDR ini.

19. Adakah pegawai lantikan kontrak (COS) dan sementara yang diarahkan BDR layak bayaran faedah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja?

Tidak layak.

Pegawai lantikan kontrak (COS) dan sementara yang diarahkan BDR tidak layak dipertimbangkan bayaran faedah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja di bawah Pekeliling Perbendaharaan W.P 6.3 kerana pegawai kontrak dan sementara ini telah dilindungi oleh Skim Perlindungan Keselamatan Sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ia adalah selaras dengan ketetapan Perenggan 10.3, Pekeliling Perbendaharaan W.P 6.3 seperti berikut:
“Pegawai yang dilindungi Skim Bencana Pekerjaan PERKESO atau skim perlindungan lain atas caruman Kerajaan, tidak layak dipertimbangkan faedah di bawah Skim ini.”

Kebenaran Tidak Hadir Kerja Atas Sebab-Musabab Kecemasan Am

1. Ceraian SR.4.2.7 ini memperuntukkan kebenaran kepada pegawai tidak hadir bekerja atas sebab-musabab kecemasan am. Apakah yang dimaksudkan dengan kecemasan am dalam Ceraian ini?

Dalam Ceraian SR.4.2.7 ini, kecemasan am bermaksud suatu kejadian kecemasan yang berlaku seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi, jambatan runtuh, lain-lain mala petaka dan bencana alam, perintah berkurung dan perintah sekatan am oleh pihak berkuasa.

2. Bilakah pegawai boleh diberikan kebenaran untuk tidak hadir bekerja atas sebab-musabab kecemasan am?

Pegawai boleh diberikan kebenaran untuk tidak hadir bekerja apabila kejadian kecemasan am berkenaan telah menyebabkan terhalangnya perjalanan pegawai ke pejabat atau ke tempat bekerja biasa.

3. Apakah yang dimaksudkan dengan kecemasan peribadi?

Kecemasan peribadi bermaksud suatu kejadian kecemasan atau kes-kes bencana dan kemalangan yang berlaku ke atas peribadi atau yang melibatkan harta benda pegawai.

7. Sekiranya hanya kawasan persekitaran rumah pegawai sahaja yang terlibat dengan mala petaka dan bencana alam seperti kebakaran, banjir atau tanah runtuh dan menghalang perjalanan pegawai ke pejabat, adakah pegawai layak menggunakan kemudahan ini?

Layak.

Pegawai boleh diberikan kebenaran untuk tidak hadir bekerja apabila kejadian kecemasan berkenaan telah menyebabkan terhalangnya perjalanan pegawai ke pejabat atau ke tempat bekerja biasa.

16. Encik Amin dan isterinya Puan Normah dalam perjalanan dari rumah ke pejabat, berlaku kemalangan jalan raya yang menyebabkan kesesakan teruk. Adakah kedua-dua pegawai ini layak menggunakan kemudahan ini?

Tidak layak.

Insiden ini merupakan kecemasan peribadi. Sekiranya pegawai itu tidak hadir bekerja, beliau hendaklah mendapat kebenaran cuti daripada Ketua Jabatannya.

17. Rumah Encik Azuan telah disambar petir pada malam Ahad dan telah menyebabkan kebakaran. Adakah beliau layak menggunakan kemudahan ini?

Tidak layak.

Insiden ini merupakan kecemasan peribadi. Sekiranya pegawai itu tidak hadir bekerja, beliau hendaklah mendapat kebenaran cuti daripada Ketua Jabatannya.

18. Adakah pegawai lantikan secara kontrak (COS) layak menggunakan kemudahan ini?

Layak.

Kemudahan ini layak diberikan kepada semua kategori pegawai sedang berkhidmat yang dilantik oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak.