Skip to main content

Kemudahan Tambang

Soalan Lazim

Kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah Pegawai Dan Tambang Mengurus Pemindahan Barang (Rujukan - Ceraian Sr 6.3.1)

1. Sekiranya salah seorang anak kepada pegawai bertukar wilayah meninggal dunia di wilayah pegawai berkhidmat, bagaimanakah pelaksanaan kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah dan Tambang Mengurus Pemindahan Barang kepada pegawai dan ahli keluarga yang lain?

Tambang pergi dan balik diberikan kepada pegawai dan ahli keluarga yang lain ke tempat penyempurnaan mayat, terhad di dalam Malaysia dan kembali ke wilayah berkhidmat.

2. Sekiranya pegawai bertukar wilayah meninggal dunia di wilayah berkhidmat, bagaimanakah pelaksanaan kemudahan tambang untuk menguruskan pemindahan barang pegawai tersebut?

Kemudahan tambang pergi dan balik boleh diberikan kepada pasangan atau seorang ahli keluarga atau waris untuk menguruskan pemindahan barang pegawai dari wilayah berkhidmat ke wilayah asalnya atau mana-mana wilayah lain tertakluk kadar tambang adalah bersamaan atau lebih rendah dari kadar tambang ke wilayah asal pegawai.

Tambang Ihsan (Rujukan - Ceraian SR 6.2.1)

1. Apakah yang dimaksudkan dengan penjelasan pegawai yang diberi kemudahan Tambang Ihsan?

Kemudahan Tambang Ihsan diperuntukkan kepada pegawai yang bertukar wilayah untuk menziarahi ibu (kandung atau tiri atau angkat yang sah mengikut undang-undang), bapa (kandung atau tiri atau angkat yang sah mengikut undang-undang), ibu mentua atau bapa mentua yang sakit tenat atau meninggal dunia, sekali sahaja bagi setiap individu yang dinyatakan sepanjang tempoh perkhidmatan pegawai di wilayah berkhidmat.

2. Siapakah yang ada kuasa untuk meluluskan permohonan Tambang Ihsan?

Kelulusan Tambang Ihsan boleh diberikan oleh Ketua Jabatan.

3. Sekiranya ibu mentua Encik Rashid sakit tenat, bolehkah Encik Rashid (selaku pegawai bertukar wilayah) menggunakan kemudahan ini untuk isterinya, Puan Rokiah pulang menziarahi ibunya di wilayah asal?

Isteri Encik Rashid tidak boleh menggunakan kemudahan ini atas kelayakan suaminya untuk menziarahi ibunya kerana kemudahan ini hanya diperuntukkan kepada pegawai sahaja.

4. Encik Zainal, pegawai yang bertukar wilayah ke Sabah sedang sakit tenat. Adakah anaknya, Sumayyah yang menuntut di Semenanjung boleh menggunakan kemudahan ini untuk menziarahi ayahnya di Sabah?

Anak-anak yang tidak tinggal bersama pegawai di wilayah berkhidmat boleh menggunakan kemudahan ini untuk melawat pegawai yang sakit tenat atau meninggal dunia dengan syarat mereka tidak pernah menggunakan kemudahan tambang bagi maksud berpindah mengikut pegawai ke wilayah berkhidmat. Dalam hal ini, kelayakan tambang kapal terbang adalah mengikut tambang Kelas Ekonomi.

6. Puan Kalsom berasal dari Sarawak tetapi berkhidmat di Semenanjung. Ibu Puan Kalsom tinggal di Kuching, Sarawak manakala bapa mentua Puan Kalsom menetap di Labuan.
  1. Bolehkah Puan Kalsom menggunakan kemudahan ini untuk menziarahi ibunya yang sakit tenat di Kuching?
    Puan Kalsom boleh menggunakan kemudahan ini ke Kuching kerana kemudahan tambang ini diperuntukkan dari tempat tinggal pegawai di wilayah berkhidmat ke ibu negeri atau bandar utama di wilayah asalnya.
  2. Bolehkah Puan Kalsom menggunakan kemudahan ini untuk menziarahi bapa mentuanya yang sakit tenat di Labuan?
    Kemudahan tambang ini disediakan dari tempat tinggal pegawai di wilayah berkhidmat sehingga ke ibu negeri atau bandar utama di wilayah asal pegawai atau mana-mana wilayah lain tertakluk kadar tambang adalah bersamaan atau lebih rendah dari kadar tambang ke wilayah asal pegawai.

    Dalam hal ini, Puan Kalsom boleh menggunakan kemudahan ini ke Labuan sekiranya kadar tambang adalah bersamaan atau lebih rendah dari kadar tambang ke ibu kota wilayah asal beliau.

Tambang Mengunjungi Wilayah Asal (TMWA)

1. Situasi: Wilayah asal: Jasin, Melaka. Wilayah berkhidmat: Kota Kinabalu, Sabah. Tiket penerbangan: dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu ke Johor Bahru, Johor (kerana Melaka tiada lapangan terbang). Soalan: Adakah pegawai layak untuk menuntut tambang teksi dari Lapangan Terbang Johor Bahru ke Bandar Melaka?

Perenggan 3(a), Ceraian SR 6.1.1 menjelaskan mengenai pelaksanaan TMWA di mana tambang perjalanan pergi dan balik disediakan dari tempat tinggal pegawai di wilayah berkhidmat ke ibu negeri wilayah asal atau bandar utama di wilayah asal. Sehubungan itu, pegawai layak menuntut tambang perjalanan pergi dan balik dari tempat tinggal di wilayah berkhidmat ke ibu negeri wilayah asal. Hal ini bermaksud tambang perjalanan layak dituntut oleh pegawai dari rumah pegawai di wilayah berkhidmat ke lapangan terbang di wilayah berkhidmat serta dari lapangan terbang berdekatan wilayah asal ke ibu negeri wilayah asal.

2. Sekiranya pegawai mempunyai lebih daripada seorang isteri, adakah semua isteri dan anak-anak pegawai layak untuk mendapat kemudahan TMWA?

Lampiran I, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Pegawai Bertukar Wilayah Versi 1.0 (2022) telah membuat tafsiran “keluarga pegawai” yang membawa maksud pasangan dan anak-anak pegawai di bawah umur 21 tahun yang masih dalam tanggungan pegawai. Bagi pegawai yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, Kerajaan memperuntukkan TMWA bagi seorang isteri sahaja. Manakala semua anak di bawah tanggungan pegawai layak mendapat kemudahan TMWA.

3. Adakah pegawai boleh menggunakan kereta sendiri untuk perjalanan dari rumah ke lapangan terbang dan membuat tuntutan berdasarkan jarak/kilometer dan tuntutan lain yang selayaknya termasuk bayaran tempat letak kereta di lapangan terbang?

Perenggan 3(b), Ceraian SR 6.1.1 menyatakan kadar tambang adalah meliputi keseluruhan kos tambang pengangkutan termasuk tambang kapal terbang yang merangkumi harga tiket, cukai lapangan terbang, insurans penumpang dan surcaj bahan api serta tuntutan perjalanan sekiranya pegawai menggunakan kenderaan sendiri.

Dalam hal ini, kos tambang pengangkutan yang dimaksudkan adalah termasuk Elaun Perjalanan Kenderaan atau Tambang Pengangkutan Awam yang ditanggung oleh pegawai bagi perjalanan dari tempat tinggal pegawai di wilayah berkhidmat ke lapangan terbang. Sekiranya pegawai memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri, pegawai layak menuntut Elaun Perjalanan Kenderaan bagi perjalanan dari tempat tinggal pegawai di wilayah berkhidmat ke lapangan terbang, namun kos tempat letak kereta di lapangan terbang adalah ditanggung sendiri oleh pegawai.

4. Puan Sarah merupakan pegawai bertukar wilayah dan telah melapor diri di wilayah berkhidmat pada 24 November 2020. Bolehkah Puan Sarah menggunakan kemudahan ini pada 24 Disember 2020 untuk pulang ke wilayah asalnya?

Kiraan satu (1) tahun perkhidmatan Puan Sarah adalah bermula 24 November hingga 23 November tahun berikutnya. Puan Sarah boleh menggunakan kemudahan ini untuk pertama kali selepas 6 bulan berkhidmat iaitu pada bila-bila masa mulai 24 Mei 2021 hingga 23 November 2021. Penggunaan kali kedua dan seterusnya adalah pada bila-bila masa (tanpa terikat kepada tempoh 6 bulan seperti tahun pertama) dalam tempoh satu (1) tahun perkhidmatan seterusnya.

5. Bagaimanakah penentuan satu (1) tahun perkhidmatan bagi kelayakan kemudahan tambang ini? Bolehkah kemudahan yang tidak digunakan dibawa ke satu (1) tahun perkhidmatan seterusnya?

Ceraian SR 6.1.1 telah memperuntukkan TMWA kepada pegawai yang bertukar wilayah sebagai suatu kemudahan untuk membolehkan pegawai dan ahli keluarganya mengunjungi wilayah asal. Kemudahan ini diberikan sebanyak satu (1) kali dalam tempoh satu (1) tahun tahun perkhidmatan pegawai di wilayah berkhidmat dan kemudahan yang tidak digunakan dalam tempoh tersebut akan luput dan tidak boleh dibawa ke tahun perkhidmatan berikutnya. Pengiraan tahun perkhidmatan adalah mulai dari tarikh pegawai lapor diri di wilayah berkhidmat.

Sebagai contoh, pegawai melapor diri pada 24 November 2020. Satu (1) tahun perkhidmatan pegawai adalah bermula dari 24 November 2020 hingga 23 November 2021. Satu (1) tahun perkhidmatan seterusnya bagi tujuan TMWA adalah mulai 24 November 2021 sehingga 23 November 2022 dan seterusnya.

6. Kelayakan TMWA Encik Halim bagi tahun 2020 ialah pada 5 Mac 2020 hingga 4 Mac 2021. Encik Halim telah diluluskan kemudahan ini untuk pulang pada 20 Disember 2020. Namun, Encik Halim tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut disebabkan ada sekatan perjalanan oleh Kerajaan. Sekiranya Encik Halim tidak dapat menggunakan kemudahan ini sehingga 4 Mac 2021, bolehkah kemudahan ini dibawa ke tahun kelayakan seterusnya?

Ceraian SR 6.1.1 telah memperuntukkan TMWA kepada pegawai yang bertukar wilayah sebagai suatu kemudahan untuk membolehkan pegawai dan ahli keluarganya mengunjungi wilayah asal. Kemudahan ini diberikan sebanyak satu (1) kali setiap tahun perkhidmatan pegawai di wilayah berkhidmat dan kemudahan yang tidak digunakan dalam tempoh tersebut akan luput dalam apa jua situasi dan tidak boleh dibawa ke tahun hadapan.

Dalam hal ini, Encik Halim tidak boleh membawa kelayakan kemudahan ini yang tidak dapat digunakan ke tahun kelayakan yang seterusnya.

7. Adakah pegawai bertukar wilayah di bawah layak atau tidak layak untuk memohon kemudahan TMWA?
Situasi Tarikh
Tarikh ditempatkan di wilayah semenanjung 3.11.1997
Tarikh terakhir kemudahan diterima 21.11.2021 - 27.11.2021
Tarikh kemudahan terkini yang dimohon 30.4.2022 - 8.5.2022



Pegawai berkenaan adalah tidak layak untuk menggunakan kemudahan
tambang mengunjungi wilayah asal untuk tarikh 30.4.2022 – 8.5.2022 memandangkan pegawai telah menggunakan kemudahan TMWA (21.11.2021 hingga 27.11.2021) dalam tempoh tahun perkhidmatan 3.11.2021 hingga 2.11.2022. Kelayakan pegawai bagi kemudahan TMWA yang berikutnya adalah dalam tempoh satu (1) tahun perkhidmatan seterusnya iaitu mulai 3.11.2022 hingga 4.11.2023.

8. Pegawai telah membuat pembelian tiket sendiri [tanpa Waran Perjalanan Udara Awam (WPUA)] bagi tujuan kemudahan TMWA dan kemudiannya membuat tuntutan kepada jabatan. Adakah caj baggage 30kg, preferred seat dan makanan dalam pesawat turut layak ditanggung oleh Kerajaan?

Penggunaan kaedah selain dari WPUA dalam urusan pembelian tiket kapal terbang dibenarkan oleh Kerajaan melalui Pekeliling Perbendaharaan WP 2.5. Antara kaedah yang dibenarkan ialah melalui pembelian sendiri oleh pegawai dan kemudiannya mengemukakan tuntutan bayaran balik kepada jabatan. Perenggan 5, WP 2.5 telah menyenaraikan tindakan dan kos yang boleh dituntut oleh pegawai dan tuntutan-tuntutan lain yang boleh diluluskan oleh Pegawai Pengawal berdasarkan kewajaran dan keperluan.

9. Destinasi yang dituju adalah ibu negeri yang tidak mempunyai lapangan terbang, sebagai contoh penerbangan pegawai dari Kuching (wilayah berkhidmat) ke KLIA dan kemudiannya ke Bandar Melaka (ibu negeri wilayah asal). Adakah pegawai layak dibayar tuntutan perjalanan dari KLIA ke Bandar Melaka (135km)? Sekiranya layak, apakah mercu (titik akhir) tuntutan perjalanan tersebut?

Pegawai layak membuat tuntutan perjalanan dari KLIA ke Bandar Melaka selaras dengan prinsip pelaksanaan TMWA iaitu tambang perjalanan pergi dan balik disediakan dari tempat tinggal pegawai di wilayah berkhidmat ke mana-mana ibu negeri (Semenanjung) atau bandar utama (Sabah/ Sarawak/ Labuan) di wilayah asal. Dalam hal ini, tuntutan perjalanan tersebut adalah berdasarkan jarak dari KLIA ke Bandar Melaka (ibu negeri).

10. Bagaimana dengan kelayakan anak tidak sah taraf untuk menggunakan kemudahan TMWA?

Sekiranya anak tidak sah taraf tersebut berada dalam tanggungan pegawai dan berumur di bawah 21 tahun, maka anak tersebut layak untuk menggunakan kemudahan TMWA seperti mana tafsiran keluarga mengikut MyPPSM: Pegawai Bertukar Wilayah.

Anak tidak sah taraf merujuk kepada anak kepada pegawai yang dilahirkan sebelum atau tanpa perkahwinan yang sah)

11. Pegawai bertukar wilayah dari Sarawak ke Kuala Lumpur. Pegawai berasal dari Sri Aman yang berada pada jarak 184km dari Lapangan Terbang Kuching. Adakah pegawai layak dibayar tuntutan perjalanan dari Lapangan Terbang Kuching ke Sri Aman?

Kemudahan TMWA disediakan bagi tujuan perjalanan pergi dan balik disediakan dari tempat tinggal pegawai di wilayah berkhidmat ke mana-mana ibu negeri (Semenanjung) atau bandar utama (Sabah/ Sarawak/ Labuan) di wilayah asal. Dalam hal ini, tafsiran bandar utama bagi Wilayah Sabah & Sarawak merujuk kepada mana-mana lokasi yang mempunyai akses kepada lapangan terbang, termasuk padang terbang.

Sehubungan dengan itu, pegawai boleh menggunakan kemudahan TMWA untuk ke mana-mana lapangan terbang atau padang terbang yang berhampiran dengan bandar utama di mana terletaknya tempat tinggal pegawai di wilayah asal. Merujuk kepada isu yang diutarakan, pegawai boleh menggunakan kemudahan TMWA sehingga ke Lapangan Terbang Kuching iaitu lapangan terbang/ padang terbang terhampir dengan Sri Aman.

Kemudahan Pegawai Bertukar Wilayah

1. Apakah yang dimaksudkan dengan pegawai bertukar wilayah?

Pegawai yang bertukar wilayah bermaksud pegawai yang berkhidmat di wilayah selain daripada wilayah asalnya. Wilayah dalam konteks ini bermaksud Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan. Wilayah asal seseorang pegawai adalah berdasarkan wilayah kelahiran ibu atau bapa pegawai. Sekiranya ibu bapa pegawai dilahirkan di wilayah yang berbeza, pegawai boleh memilih sama ada wilayah kelahiran ibu atau wilayah kelahiran bapa sebagai wilayah asalnya.

2. Apakah kemudahan yang layak diberikan kepada pegawai yang bertukar wilayah?

Pegawai Perkhidmatan Awam yang bertukar wilayah layak diberi kemudahan tambang seperti berikut:

  1. Tambang Mengunjungi Wilayah Asal;
  2. Tambang Ihsan; dan
  3. Tambang Mengiringi Jenazah dan Mengurus Pemindahan Barang.
3. Berdasarkan surat edaran rujukan JPA.800-6/1/51(3) bertarikh 9 Oktober 2023, adakah pegawai lantikan kontrak layak menggunakan semua kemudahan tambang yang dinyatakan melalui MyPPSM: Pegawai Bertukar Wilayah?

Surat edaran rujukan JPA.800-6/1/51(3) bertarikh 9 Oktober 2023 bertujuan memaklumkan pindaan tafsiran ‘pegawai’ bagi MyPPSM: Pegawai Bertukar Wilayah kepada tafsiran yang baharu iaitu pegawai perkhidmatan awam yang dilantik secara tetap, sementara atau kontrak (contract of service). Kelayakan pegawai kontrak untuk menikmati elaun dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan boleh dipertimbangkan tertakluk kepada senarai elaun dan kemudahan yang dimasukkan ke dalam Jadual kepada perjanjian kontrak pegawai selaras dengan ketetapan perenggan 5, Ceraian UP.1.1.8: Penambahbaikan Kemudahan Bagi Pegawai Lantikan Kontrak (Contract of Service) Dalam Perkhidmatan Awam dan terma syarat lantikan pegawai.

4. Adakah pegawai lantikan kontrak (contract of service) perlu membuat pengisytiharan wilayah asal?

Selaras dengan perenggan 5 (a) dan (b), MyPPSM: Pegawai Bertukar Wilayah, pegawai hendaklah mengisytiharkan wilayah asalnya semasa pertama kali dilantik ke dalam perkhidmatan awam menggunakan Borang JPA (Wilayah Asal) seperti di Lampiran II. Pengisytiharan ini hanya boleh dilakukan sebanyak satu (1) kali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan dan direkodkan di dalam Sistem/ Buku Rekod Perkhidmatan pegawai. Manakala bagi pegawai yang sedang dalam perkhidmatan pada tarikh kuat kuasa Ceraian berkenaan dan tidak pernah mengisytiharkan wilayah asalnya, pegawai boleh melakukan pengisytiharan apabila pegawai bertukar wilayah.

5. Bagaimana penentuan tahun perkhidmatan bagi pegawai lantikan kontrak (contract of service)?

Penentuan tahun perkhidmatan bagi pegawai lantikan kontrak adalah bermula dari tarikh pegawai melapor diri di wilayah berkhidmat.

6. Adakah tempoh perkhidmatan kontrak sebelum ini diambil kira bagi tujuan perkiraan tahun perkhidmatan bagi tujuan TMWA?

Bagi tujuan perkiraan tahun perkhidmatan untuk pegawai yang dilantik semula secara kontrak (contract of service) atau dilantik secara tetap, tempoh kontrak sebelumnya tidak diambil kira. Berikut adalah penentuan tahun perkhidmatan dan kelayakan penggunaan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal:-

Carta alir

8. Sekiranya pegawai telah menggunakan kemudahan tambang ihsan untuk menziarahi ibu pegawai yang sakit tenat dalam tempoh perkhidmatan kontrak. Adakah pegawai layak menggunakan kemudahan tambang ihsan untuk menziarahi ibunya yang meninggal dunia setelah pegawai dilantik ke jawatan tetap?

Perenggan 3(b), Ceraian SR.6.2.1 menetapkan bahawa kemudahan Tambang Ihsan diberikan kepada pegawai untuk menziarahi ibu, bapa, ibu mentua dan bapa mentua yang sakit tenat atau meninggal dunia, sebanyak satu kali bagi setiap individu yang dinyatakan sepanjang tempoh perkhidmatan pegawai (membawa jumlah maksimum sebanyak 4 kali sahaja). Justeru itu, pegawai hanya layak menggunakan kemudahan tersebut sekali sahaja untuk menziarahi ibunya sepanjang tempoh perkhidmatan yang diambil kira dari perkhidmatan kontrak.