Skip to main content

Kemudahan Perumahan

Soalan Lazim

Pelaksanaan Peraturan Menduduki Rumah Kerajaan Di Agensi Kerajaan Persekutuan

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Rumah Kerajaan?

Rumah Kerajaan adalah rumah yang dibina, diperoleh, disewa atau dipajak oleh Kerajaan dan mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, kaedah pembuangan najis dan kumbahan yang sempurna. Terdapat beberapa jenis Rumah Kerajaan iaitu:

     
  1. Rumah Biasa Kerajaan;
  2. Rumah Khas Jabatan;
  3. Rumah Khas Jawatan;
  4. Kediaman Penjawat Tinggi Kerajaan;
  5. Rumah Kediaman Luar Negeri; dan
  6. Mes/ berek/ asrama.

(Rujukan:  Perenggan  4,  Ceraian  SR.3.1.1,  Lampiran  I,  MyPPSM:  Kemudahan Perumahan Kerajaan)

2. Adakah Kerajaan bertanggungjawab menyediakan Rumah Kerajaan kepada setiap anggotanya?

Kerajaan tidak bertanggungjawab untuk menyediakan rumah kediaman bagi anggotanya, namun berhak memperuntukkan Rumah Kerajaan kepada mana-mana anggotanya yang difikirkan sesuai untuk mendapatkan rumah.

Kerajaan atas budi bicaranya boleh menyediakan rumah kediaman bagi jawatan tertentu yang diperuntukkan Rumah Khas Jawatan, Rumah Khas Jabatan, Rumah Kediaman Luar Negeri, Kediaman Rasmi Penjawat Tinggi Kerajaan termasuk rumah bagi anggota Polis, Tentera, Penjara dan Bomba.

(Rujukan: Perintah Am 2, 3 dan 5 Bab E Tahun 1974)

3. Adakah Kerajaan bertanggungjawab menyediakan perabot bagi Rumah Kerajaan?

Kerajaan tidak bertanggungjawab untuk menyediakan perabot bagi Rumah Kerajaan namun atas budi bicaranya boleh menyediakan perabot tertakluk pelaksanaan dasar semasa oleh Jabatan Kerja Raya serta Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa.

Perenggan (e) Bahagian IV Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1977 menetapkan Rumah-rumah Kerajaan boleh dilengkapi dengan perabot seperti yang disenaraikan dalam Lampiran D,  Perintah Am Bab E  Tahun 1974  yang  mana pembekalan perabot tersebut akan disediakan oleh Jabatan Kerja Raya.

Sewa dan pembekalan perabot bagi Rumah Kediaman Luar Negeri adalah seperti penetapan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2013: Dasar dan Peraturan Khidmat Luar Negeri manakala bagi Kediaman Rasmi Penjawat Tinggi Kerajaan pula, penetapan pembekalan perabot adalah seperti yang ditetapkan dibawah Surat Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2021: Pembekalan Kelengkapan Rumah Kepada Penjawat Tinggi Kerajaan Yang Diperuntukkan Rumah Kediaman Kerajaan.

(Rujukan: Perintah Am 32 Bab E Tahun 1974; Perenggan (e) Bahagian IV Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2  Tahun  1977;  Perenggan 4.9  Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2013: Dasar dan Peraturan Khidmat Luar Negeri; Surat Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2021: Pembekalan Kelengkapan Rumah Kepada Penjawat Tinggi Kerajaan Yang Diperuntukkan Rumah Kediaman Kerajaan)

4. Siapakah yang seharusnya menentukan status sesebuah Rumah Kerajaan dan apakah prosedur untuk menukar status sesebuah Rumah Kerajaan? Sebagai contoh, penukaran status Rumah Biasa Kerajaan kepada Rumah Khas Jabatan.

Perubahan   dan   penentuan   status   Rumah   Kerajaan   di   bawah   agensi   boleh dipertimbangkan di peringkat Ketua Jabatan sebagaimana tafsiran dalam Perintah Am 1 Bab E Tahun 1974. Penentuan dan perubahan status sesebuah Rumah Kerajaan perlu diteliti dan dipertimbang sewajarnya dengan mengambil kira implikasinya terhadap kepentingan perkhidmatan serta bayaran dan elaun lain yang berkaitan.

(Rujukan: Perintah Am 1 Bab E Tahun 1974)

5. Sekolah Menengah Kebangsaan ABC merupakan sekolah menengah harian yang ada menyediakan Rumah Kerajaan untuk Pengetua, Penolong Kanan dan guru. Adakah status Rumah Kerajaan tersebut dikategorikan sebagai Rumah Khas Jabatan atau Rumah Khas Jawatan?

etua Jabatan adalah bertanggungjawab mengenal pasti dan menentukan status rumah-rumah tersebut. 'Rumah Khas Jabatan' bermaksud Rumah Kerajaan yang dikhaskan oleh Jabatan untuk kediaman seseorang pegawai yang dikehendaki berada setiap masa berdekatan dengan tempat bekerja, manakala ‘Rumah Khas Jawatan’ bermaksud rumah yang dikhaskan untuk seseorang pegawai yang memegang jawatan tertentu yang berjawatan Gred Utama B dan ke bawah seperti Ketua Setiausaha, Pengarah Hospital, Pegawai Perubatan Pakar dan Pengetua Sekolah.

Selain itu,  Ketua Jabatan/ Pegawai Perumahan adalah bertanggungjawab untuk mengenal pasti jawatan-jawatan penting yang boleh disediakan Rumah Khas Jabatan (RKJ). Peruntukan RKJ hendaklah disenarai dan dikemas kini dari semasa ke semasa oleh agensi masing-masing. Penentuan ini hendaklah dibuat dengan teliti supaya hanya pegawai yang benar-benar dikehendaki setiap masa bersedia untuk bertugas di

luar waktu pejabat diperuntukkan RKJ. Bagi Rumah Khas Jawatan pula kementerian hendaklah menyenaraikan jawatan-jawatan yang diperuntukkan Rumah Khas Jawatan.

Kelayakan bayaran imbuhan dan bayaran-bayaran lain yang berkaitan bagi pegawai yang menduduki Rumah Kerajaan tersebut adalah ditetapkan setelah Ketua Jabatan/ Pegawai Perumahan menentukan status Rumah Kerajaan tersebut sama ada Rumah Khas Jabatan, Rumah Khas Jawatan mahupun Rumah Biasa Kerajaan.

(Rujukan: Lampiran I, MyPPSM: Kemudahan Perumahan Kerajaan)

6. Sekiranya pegawai diperuntukkan Rumah Kerajaan secara berkongsi, bagaimanakah cara pembayaran bagi rumah tersebut?

Kerajaan berhak memperuntukkan sebarang rumah kediaman kepada mana-mana pegawai   yang difikirkan sesuai   untuk   mendapatkan  rumah   atau   menyuruh pegawai-pegawai berkongsi rumah. Sebuah bilik di asrama atau mes atau mana-mana kediaman yang serupa yang memenuhi kriteria Rumah Kerajaan adalah dianggap sebagai satu unit kediaman. Sehubungan itu, pegawai hendaklah membuat Bayaran Menduduki Rumah Kerajaan (BMRK) mengikut kadar dan kaedah yang ditetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.

(Rujukan: Perintah Am 5 Bab E Tahun 1974; Perenggan 8, Ceraian SR.3.1.1)

7. Enam unit Rumah Biasa Kerajaan di Jabatan A telah mengalami kerosakan dan memerlukan pembaikan struktur binaannya. Apakah kesannya kepada pegawai yang menduduki Rumah Biasa Kerajaan tersebut?

Kerajaan atau Pegawai Perumahan boleh menghendaki seseorang pegawai itu mengosongkan sesebuah Rumah Kerajaan untuk tujuan membaikinya atau lain-lain sebab yang munasabah dengan memberi tempoh satu bulan tanpa bertanggungjawab memberi pegawai itu rumah lain sebagai ganti.

Oleh yang demikian, mengambil kira enam unit Rumah Biasa Kerajaan tersebut mengalami kerosakan dan memerlukan kerja pembaikan, maka Pegawai Perumahan agensi boleh menghendaki pegawai-pegawai tersebut mengosongkan sesebuah Rumah Kerajaan untuk tujuan membaikinya dengan memberi tempoh satu bulan tanpa bertanggungjawab memberi pegawai itu rumah lain sebagai ganti. Bagi tempoh pegawai diarahkan mengosongkan Rumah Biasa Kerajaan tersebut, pegawai tidak tertakluk kepada peraturan menduduki Rumah Kerajaan serta pegawai layak menerima ITP pada kadar penuh sehingga pegawai menduduki semula Rumah Biasa Kerajaan tersebut.

(Rujukan: Perintah Am 5 (b) Bab E Tahun 1974)

8. Encik Farhan Gred M52 telah diarahkan untuk menduduki Rumah Khas Jawatan. Beliau telah memohon pengecualian bayaran elektrik kerana pihak agensi masih menggunakan meter pukal. Adakah permohonan Encik Farhan layak dipertimbangkan?

Tidak. Perintah Am 18 Bab E Tahun 1974 menetapkan pegawai yang mendiami Rumah Kerajaan adalah bertanggungjawab membayar sendiri bayaran-bayaran perkhidmatan seperti pembuangan sampah, elektrik, air (termasuk apa-apa bayaran yang disyaratkan oleh pembekal) melainkan diberi pengecualian.

(Rujukan: Perintah Am 18 Bab E Tahun 1974)

Pelaksanaan Peraturan Mengosongkan Rumah Biasa Kerajaan Di Agensi Kerajaan Persekutuan

1. Pegawai sedang menduduki Rumah Kerajaan dan telah diluluskan Cuti Tanpa Gaji kerana mengikut pasangan bertugas di luar negara, adakah pegawai ini layak untuk terus menduduki Rumah Kerajaan?

Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2009 menetapkan pegawai yang Cuti Tanpa Gaji tidak layak menerima kemudahan tertentu kecuali kemudahan perubatan. Dalam hal ini, peraturan pelaksanaan pengurusan Rumah Kerajaan oleh pihak BPH, JPM juga menetapkan pegawai yang Cuti Tanpa Gaji akan hilang kelayakan menduduki Rumah Kerajaan. Oleh yang demikian, pegawai yang Cuti Tanpa Gaji akan hilang kelayakan menduduki Rumah Kerajaan.

(Rujukan: Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2009,
Surat  Edaran  Bahagian  Pengurusan  Hartanah,  JPM  rujukan  BPH.TK.400-8/3/1 Jld.5(15) bertarikh 27 September 2021).

2. Bilakah seseorang yang telah bersara mesti mengosongkan Rumah Kerajaan/ Rumah Kerajaan yang didudukinya?

Pegawai yang menduduki Rumah Kerajaan mestilah mengosongkan rumah tersebut pada hari terakhir beliau bekerja sebelum bersara melainkan diberi kebenaran dalam keadaan yang dinyatakan seperti berikut:

  1. Pegawai yang bercuti sebelum tarikh persaraannya boleh dibenarkan oleh Pegawai Perumahan untuk terus menduduki rumah tersebut (bukan Rumah Khas Jabatan atau Rumah Khas Jawatan) semasa bercuti itu dan selama tidak melebihi 30 hari lagi selepas akhir cutinya. Bagi pegawai yang tidak berkelayakan mengumpul cuti rehat sebelum bersara mengikut syarat-syarat perkhidmatannya akan dibenarkan tinggal di rumah tersebut tidak melebihi 30 hari selepas hari akhir ia bekerja.

    (Rujukan: Perintah Am 33(b) Bab E Tahun 1974)

  2. Bagi pegawai yang mendiami Rumah Khas Jabatan atau Rumah Khas Jawatan (RKJ), pegawai akan dikehendaki mengosongkan RKJ tersebut di hari terakhir ia bekerja tetapi sekiranya tidak ada pegawai lain yang berhak mendapat RKJ itu atau pun penggantinya belum ada lagi, maka dengan persetujuan Ketua Jabatan yang berkenaan, ia boleh dibenarkan tinggal di RKJ itu selama tidak lebih daripada 30 hari.

    (Rujukan: Perintah Am 33(c) Bab E Tahun 1974)
3. Puan Sarah Iman sedang menduduki Rumah Khas Jabatan di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH). Baru-baru ini beliau telah membeli rumah dalam lingkungan 25 kilometer radius dari pejabat menggunakan pinjaman dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Adakah Puan Sarah Iman boleh diarahkan keluar RKJ kerana membeli rumah dengan pinjaman perumahan Kerajaan?

Tidak. Ceraian SR.3.2.1 menetapkan hanya pegawai yang menduduki Rumah Biasa Kerajaan sahaja yang akan hilang kelayakan menduduki Rumah Biasa Kerajaan sekiranya membeli rumah dengan skim pinjaman perumahan Kerajaan. Pegawai menduduki RKJ adalah tidak tertakluk kepada peraturan tersebut.

(Rujukan: Perenggan 3, Ceraian SR.3.2.1)

4. Puan Hasanah sedang menduduki Rumah Biasa Kerajaan di bawah seliaan BPH dan telah membeli tanah dalam lingkungan 25 kilometer dari mercu tanda yang ditetapkan bagi tujuan membina rumah menggunakan kemudahan pembiayaan dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Adakah Puan Hasanah perlu mengosongkan Rumah Kerajaan?

Puan Hasanah hilang kelayakan menduduki Rumah Biasa Kerajaan apabila rumah di atas tanah yang dibeli melalui pinjaman perumahan Kerajaan telah siap dan selamat diduduki. Tarikh pengosongan Rumah Kerajaan dikira 45 hari mulai daripada tarikh Sijil Layak Menduduki (CF) diterima. Keengganan pegawai mengosongkan Rumah Kerajaan dalam tempoh ini,  pegawai boleh  dikenakan dua  kali  ganda Bayaran Menduduki Rumah Kerajaan (BMRK).

(Rujukan: Perenggan 3 dan 4, Ceraian SR.3.2.1)

5. Bagaimanakah lingkungan 25 kilometer bagi dasar pengosongan Rumah Biasa Kerajaan di bawah seliaan BPH ditentukan?

Jarak 25 kilometer adalah merujuk kepada jarak melalui satu garis lurus (radius)dari mercu tanda seperti berikut:

a)   Bangunan Perdana Putra bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya;
b)   Bangunan Sultan Abdul Samad bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya;
c)   Bangunan Dewan Serba guna, Kompleks Kediaman Kakitangan Awam
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi Nilai, Negeri
Sembilan; dan
d)   Bangunan Dewan Serba guna, Kompleks Kediaman Kakitangan Awam di
Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin bagi Gelang Patah, Johor.

(Rujukan: Perenggan 3, Ceraian SR.3.2.1)

6. Puan Zurina telah membeli rumah menggunakan pinjaman dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dalam lingkungan 25 kilometer radius dari mercu tanda yang ditetapkan. Pada tahun 2022, Puan Zurina telah menyelesaikan baki pinjaman LPPSA dengan menggunakan kaedah pembiayaan semula oleh pihak bank komersial. Kemudiannya pada tahun 2023, Puan Zurina telah memohon untuk menduduki Rumah Biasa Kerajaan di bawah seliaan BPH. Adakah permohonan Puan Zurina untuk menduduki RBK layak dipertimbangkan?

Permohonan Puan Zurina untuk menduduki RBK di bawah seliaan BPH tidak layak dipertimbangkan mengambil kira beliau telah mempunyai rumah yang dibeli dengan Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan dalam lingkungan 25 kilometer radius dari mercu tanda yang ditetapkan. Sungguhpun pegawai telah menyelesaikan baki pinjaman dengan LPPSA, pegawai telah dianggap menggunakan kemudahan yang dilayaki dan hilang kelayakan menduduki RBK.

(Rujukan: Perenggan 3, Ceraian SR.3.2.1)

7. Encik Hanafi merupakan seorang pegawai yang berkhidmat di Institut Kemahiran Belia Negara dan menduduki salah sebuah Rumah Biasa Kerajaan di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan. Beliau telah membeli rumah menggunakan pinjaman dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dalam lingkungan 20 kilometer radius dari pejabatnya. Adakah Encik Hanafi perlu mengosongkan kuarters?

Ya. Encik Hanafi hendaklah mengosongkan Rumah Biasa Kerajaan di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan yang didudukinya sebaik sahaja rumah yang didirikan atau dibelinya itu telah siap dan selamat untuk diduduki. Tempoh mengosongkan Rumah Biasa Kerajaan tersebut adalah 45 hari daripada tarikh rumah tersebut siap dan selamat untuk diduduki bermula dari tarikh Sijil Layak Menduduki (CF) dan kunci rumah diterima oleh pegawai. Sekiranya pegawai masih menduduki Rumah Biasa Kerajaan selepas tempoh 45 hari tersebut, pegawai akan dikenakan dua kali ganda BMRK yang ditetapkan oleh Kerajaan.

(Rujukan: Perintah Am 22 Bab E Tahun 1974, Perenggan 3(c) (d), Ceraian SR.3.2.1)

Pelaksanaan Bayaran Imbuhan Perumahan Khas

1. Encik Shahrul telah diarahkan untuk menduduki Rumah Khas Jawatan. Namun demikian, atas kekangan peribadi, Encik Shahrul tidak menduduki Rumah Khas Jawatan tersebut tanpa kebenaran oleh Ketua Jabatannya. Adakah Encik Shahrul layak menerima Bayaran Imbuhan Perumahan Khas (BPK)?

Mana-mana pegawai yang diperuntukkan Rumah Khas Jawatan layak dibayar BPK dengan syarat pegawai menduduki rumah yang telah diperuntukkan berdasarkan jawatan  yang  disandangnya. Sekiranya pegawai  tidak  menduduki Rumah  Khas Jawatan yang diperuntukkan kepadanya maka pegawai tidak layak BPK dan juga Imbuhan Tetap Perumahan (ITP).

(Rujukan: Perenggan 7, Ceraian SR.3.3.1)

2. Encik Abdullah telah diarahkan untuk menduduki Rumah Khas Jabatan (RKJ). Setelah 5 tahun menduduki RKJ tersebut, Encik Abdullah telah memohon kebenaran khas daripada Ketua Jabatannya untuk tidak lagi menduduki RKJ tersebut. Apakah yang perlu dilakukan oleh Ketua Jabatan dan bagaimanakah status pembayaran BPK Encik Abdullah ?

Ketua  Jabatan  adalah  bertanggungjawab untuk  mengenal  pasti  jawatan-jawatan penting yang boleh disediakan RKJ. Peruntukan RKJ hendaklah disenarai dan dikemas kini dari semasa ke semasa oleh agensi masing-masing. Ketua Jabatan boleh
memberi kelulusan khas sekiranya mendapati permohonan tersebut mempunyai merit
untuk dipertimbangkan dan arahan menduduki RKJ bagi Encik Abdullah boleh ditamatkan. Oleh itu, Encik Abdullah tidak lagi tertakluk kepada peraturan menduduki Rumah Khas Jabatan mulai arahan penamatan menduduki RKJ dan beliau layak dibayar elaun-elaun yang berkaitan berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.

(Rujukan: Lampiran I, MyPPSM: Kemudahan Perumahan Kerajaan)

3. Encik Syah dan Encik Badrul telah diarahkan untuk menduduki Rumah Khas Jabatan (RKJ) secara berkongsi kerana agensi mempunyai kekangan kekosongan RKJ. Adakah Encik Syah dan Encik Badrul layak dibayar Bayaran Perumahan Khas (BPK)?

Pembayaran BPK diperuntukkan kepada pegawai  yang  mendiami Rumah Khas Jabatan (RKJ) dengan syarat pegawai mendiami RKJ yang diperuntukkan untuknya. Pegawai yang diarahkan menduduki RKJ secara berkongsi adalah layak dibayar BPK tertakluk pegawai menduduki RKJ yang diperuntukkan untuknya.

(Rujukan: Perenggan 6, Ceraian SR.3.3.1)