Skip to main content

Kemudahan Pakaian

Soalan Lazim

Pakaian Seragam

1. Siapakah yang layak dibekalkan pakaian seragam?

Berdasarkan Perkara 2, Pekeliling Perkhidmatan Bil. 7 Tahun 1990 (PP7/1990), penentuan kelayakan untuk membekalkan pakaian seragam adalah berdasarkan keperluan tugas jawatan tertentu. Pakaian seragam dibekalkan berdasarkan asas-asas berikut:

  • sebagai lambang kuasa yang diperuntukkan kerana tugas jawatan yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang, memasuki kawasan, bangunan dan rumah-rumah untuk tujuan pemeriksaan. Pakaian seragam dibekalkan bagi tujuan pengenalan diri pegawai kepada orang yang terlibat semasa menjalankan tugas mereka, dan mereka dikehendaki memakai pakaian seragam sepanjang waktu bertugas. Kakitangan yang terlibat adalah seperti Pengawal Keselamatan, Pembaca Meter, Jururawat dan Ahli Bomba;
  • bagi tujuan perlindungan dan keselamatan diri kakitangan daripada percikan bahan-bahan kimia dan kekotoran semasa bertugas. Kakitangan terlibat dengan bidang tugas ini adalah seperti pekerja makmal, pekerja bengkel, pekerja am di luar pejabat dan wad rawatan pesakit; dan
  • bagi tujuan kebersihan dan rupa. Hal ini melibatkan kakitangan seperti Pemandu dan Pembantu Am Rendah.
2. Bagaimanakah cara untuk memohon kemudahan pakaian seragam?

Permohonan kemudahan pakaian seragam perlu dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Ketua Setiausaha Kementerian.

3. Apakah komponen-komponen pakaian seragam?

Pakaian seragam adalah meliputi keseluruhan komponen yang melengkapkan reka bentuk pakaian seragam yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Pakaian Seragam bagi kakitangan Kerajaan dan Badan-badan Berkanun di Jabatan Perdana Menteri dan meliputi perkara-perkara seperti berikut yang mana berkenaan:

  • pakaian;
  • topi/songkok;
  • kasut (kulit/kanvas/getah);
  • tali pinggang; dan
  • tali leher.
4. Berapakah bilangan pakaian seragam dan kasut yang dibekalkan kepada pegawai Perkhidmatan Awam untuk setahun ?

Tiga (3) pasang pakaian seragam dan dua (2) pasang kasut setahun selaras dengan Perkara 3.2, PP7/1990 dan perkara 3, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1995 yang berkuat kuasa.

5. Apakah tanggungjawab Ketua Jabatan?

Ketua Jabatan perlu memastikan kakitangan yang dibekalkan pakaian seragam memakainya semasa menjalankan tugas rasmi.

6. Adakah rekabentuk dan warna pakaian seragam yang telah diluluskan boleh dipinda?

Jika terdapat sebarang pindaan ke atas reka bentuk dan warna pakaian seragam, jabatan boleh membuat permohonan kepada Jawatankuasa Penyelarasan Pakaian Seragam bagi Kakitangan Kerajaan dan Badan-badan Berkanun di Jabatan Perdana Menteri yang diurusetiakan oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa.

7. Bilakah bantuan pakaian seragam perlu dibekalkan oleh Jabatan?

Bekalan Pakaian Seragam hendaklah dibuat sebelum akhir bulan April setiap tahun.

8. Bolehkah pegawai Perkhidmatan Awam wanita yang mengandung dibekalkan kemudahan pakaian seragam yang layak baginya walaupun beliau tidak bertugas di lapangan tetapi hanya bekerja dalam pejabat sepanjang tempoh mengandung?

Pegawai boleh dibekalkan pakaian seragam dan tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan. Ketua Jabatan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pengurusan bekalan pakaian seragam kepada pegawai-pegawainya yang dirasakan layak, serta mendapatkan kemudahan tersebut asalkan tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.

9. Adakah pihak jabatan/ agensi perlu mengemukakan permohonan kepada JPA bagi tempahan pakaian korporat?

Tidak perlu. Permohonan perbekalan pakaian korporat boleh dipertimbangkan dan diluluskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian/ Pegawai Pengawal berdasarkan Surat Edaran Kementerian Kewangan ruj: KK/BP/DS10/859/645 Jld. 20 (SK. 6/2012) (47) bertarikh 7 Disember 2012. Melalui surat tersebut, kementerian/jabatan boleh mempertimbangkan dan meluluskan pakaian korporat/seragam/koir/nasyid/ kontinjen perarakan dan seumpamanya selain daripada pakaian seragam yang diperuntukkan di bawah PP7/1990 dan Pekeliling Perbendaharaan WP2.3.

10. Adakah pegawai yang ditahan kerja layak untuk menuntut pakaian seragam bagi tahun-tahun yang beliau ditahan kerja tersebut?

Isu kelayakan pakaian seragam semasa pegawai ditahan kerja tidak timbul kerana pegawai tidak lagi berkelayakan untuk menuntut kemudahan pakaian seragam (disebabkan telah digantung kerja dan tidak menjalankan tugas) yang merupakan penentuan di bawah bidang kuasa Ketua Jabatan selaku pegawai pengawal, selaras dengan Perkara 9, Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2014 yang berkuat kuasa.

11. Adakah pegawai layak untuk menerima kain dan bantuan upah jahit semasa dalam tempoh Cuti Tanpa Gaji?

Sekiranya pegawai bercuti atau meninggalkan tugas melebihi 12 bulan, maka pegawai tidak layak untuk menuntut kemudahan pakaian ini atas dasar pegawai tidak menjalankan tugas dalam tempoh tersebut (SPP 4/2009, perenggan 5.3 (b)).

Bantuan Bayaran Pakaian Black Tie

1. Apakah tafsiran pakaian Black Tie?

Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 16 Tahun 2007 (PP16/2007), pakaian Black Tie bererti pakaian separa rasmi barat yang dipakai untuk majlis makan malam.

2. Siapakah yang layak untuk menuntut Bantuan Bayaran Pakaian Black Tie?

Berdasarkan Perkara 9 PP16/2007, pegawai Perkhidmatan Awam yang mempunyai pakaian Istiadat adalah berkelayakan untuk menuntut Bantuan Bayaran Pakaian Black Tie.

3. Apakah Komponen Pakaian Black Tie?

Komponen pakaian Black Tie ialah Jaket hitam berlapel satin atau sutera, seluar panjang hitam berjalur hitam kiri dan kanan, kemeja putih dress shirt with wing or normal collar, bengkung hitam, bow hitam bagi pegawai lelaki manakala komponen pakaian Black Tie bagi pegawai wanita ialah baju kurung/kebaya berserta selendang atau pakaian petang (evening dress) termasuk beg tangan dan kasut.

4. Berapakah kadar Bantuan Bayaran Pakaian Black Tie?

RM1,000.00 bagi setiap tiga (3) tahun sekali.

5. Apakah syarat bagi mendapat kemudahan Bantuan Bayaran Pakaian Black Tie?

Kemudahan ini diberi setiap tiga (3) tahun sekali dan tuntutan bayaran balik pakaian Black Tie hendaklah disertakan dengan dokumen sokongan resit sebagai bukti pembelian. Penggunaan kemudahan ini hendaklah dicatatkan dalam Buku Perkhidmatan Pegawai selaras Perkara 11 PP16/2007.

6. Adakah pegawai perlu mengemukakan kad jemputan ke majlis makan malam semasa membuat tuntutan Bantuan Pakaian Black Tie?

PP16/2007 jelas menerangkan kemudahan Bantuan Pakaian Black Tie layak diberikan dengan disokong oleh resit pembelian sahaja.

7. Adakah pegawai yang telah menuntut Pakaian Istiadat/ Bantuan Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi boleh membuat tuntutan terhadap Pakaian Black Tie dalam tempoh tiga (3) tahun yang sama?

Pemberian kemudahan Bantuan Bayaran Pakaian Black Tie tidak terikat kepada kemudahan Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi (BPMUR) atau Pakaian Istiadat, selaras dengan ketetapan dalam PP16/2007. Oleh itu, pegawai layak untuk menuntut Bantuan Pakaian Black Tie.

8. Adakah pegawai yang telah dijemput untuk menghadiri Majlis Makan Malam (bukan majlis rasmi Kerajaan) yang menetapkan pemakaian Black Tie layak untuk menuntut kemudahan tersebut?

Dalam hal ini, tidak kira sama ada majlis yang dihadiri oleh seseorang pegawai itu majlis rasmi Kerajaan atau tidak, selagi mana pegawai tersebut menepati tafsiran perkara 9 PP16/2007, maka, pegawai layak membuat tuntutan bantuan pakaian Black Tie setiap 3 tahun sekali dan perlu dicatatkan dalam Buku Rekod Perkhidmatan pegawai.

Bantuan Bayaran Pakaian Istiadat

1. Bilakah pemakaian kadar baharu Bayaran Pakaian Istiadat berkuat kuasa?

Kadar baharu Bayaran Pakaian Istiadat iaitu RM3,500.00 berkuat kuasa pada 1 Januari 2023. Tuntutan yang telah dibuat sebelum tarikh kuat kuasa adalah tertakluk kepada kadar terdahulu iaitu RM1,500.00

2. Apakah pegawai perlu mengemukakan surat/ kad jemputan semasa membuat tuntutan.

Pegawai perlu mengemukakan surat/ kad jemputan/ arahan bertugas Parlimen/DUN berserta resit semasa membuat tuntutan.

3. Bagaimanakah pengiraan tempoh tiga (3) tahun sekiranya pegawai membuat tuntutan pakaian siang dan pakaian malam secara berasingan?

Tempoh tiga tahun adalah berdasarkan tarikh tuntutan pertama yang dikemukakan oleh pegawai

4. Apakah komponen bagi Pakaian Istiadat?


Pakaian Siang (Lelaki): Jaket putih/ Seluar hitam/ Songkok hitam/ Georget/ Apolet/ Kasut hitam
Pakaian Malam (Lelaki): Kemeja putih/ Mess jaket putih/ Seluar hitam/ Apolet/ Bengkung/ Kasut hitam
Pakaian Siang (Wanita): Jaket putih/ kain sarung hitam/ topi hitam/ georgette/ apolet/ tas tangan hitam/ kasut hitam
Pakaian Malam (Wanita):Mess jaket putih/ baju panjang wanita hitam/ apolet/ bengkung/ tas tangan/ kasut hitam

5. Adakah tudung bagi pegawai wanita dikira sebagai komponen pakaian istiadat?

Tidak. Tudung tidak dikira sebagai komponen pakaian istiadat.

6. Bolehkah Pegawai membuat tuntutan bayaran balik bagi komponen kasut sahaja (tanpa pakaian)

Tidak boleh. Tuntutan bayaran balik komponen tanpa pakaian adalah tidak wajar.

7. Sekiranya pegawai telah membuat tuntutan bayaran pakaian istiadat pada Disember 2022, adakah pegawai layak membuat tuntutan semula dengan menggunakan kadar baharu?

Pegawai yang telah membuat tuntutan sebelum tarikh kuat kuasa 1 Januari 2023 adalah tertakluk kepada kadar dan syarat terdahulu sebelum layak menuntut kadar dan syarat baharu ini.

9. Jika Pegawai telah membuat tuntutan pakaian siang pada Februari 2023 dengan kadar RM1,800.00 dan pakaian malam pada Mei 2023 dengan kadar RM2,000.00, bagaimanakah pengiraan kadar tuntutan pegawai.

Pegawai layak tuntutan pakaian siang pada Februari 2023 dengan kadar RM1,800.00. Walau bagaimanapun, pegawai hanya layak tuntutan pakaian malam pada Mei 2023 dengan kadar RM1,700.00 sahaja (RM3,500.00- RM1,800.00).

10. Pada Jun 2023, pegawai membuat tuntutan pakaian istiadat siang sebanyak RM1,500.00. Bolehkah pegawai membuat tuntutan pakaian istiadat siang kali kedua pada Mei 2024 sebanyak RM1,500.00?

Tidak boleh. Dasar semasa memperuntukkan kadar bagi dua jenis pakaian istiadat iaitu pakaian siang dan pakaian malam serta tiga (3) tahun merupakan tempoh yang munasabah bagi penyelenggaraan setiap pakaian tersebut.

11. Bagaimanakah pengiraan tempoh kelayakan tiga (3) tahun akan datang sekiranya pegawai telah membuat tuntutan pada Mac 2023 dan Januari 2024

Pengiraan tempoh tiga (3) tahun dikira daripada tarikh tuntutan yang pertama iaitu Mac 2023.

Bantuan Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi (BPMUR)

1. Apakah tafsiran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi?

Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 16 Tahun 2007 (PP16/2007), Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi bererti Pakaian kebangsaan/ Dark Lounge Suit bagi lelaki atau pakaian yang bersesuaian bagi wanita semasa dikehendaki menghadiri upacara rasmi untuk menerima bintang atau pingat dalam Majlis Istiadat Pengurniaan Bintang dan Pingat Persekutuan/ Negeri atau bertugas rasmi di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri

2. Siapakah yang layak untuk menuntut BPMUR?
  • Pegawai Perkhidmatan Awam yang mempunyai Pakaian Istiadat layak diberi Bayaran Pakaian Istiadat dan boleh memilih untuk menggantikannya dengan BPMUR;
  • Pegawai Perkhidmatan Awam yang tidak mempunyai pakaian istiadat dan dikehendaki menghadiri upacara rasmi untuk menerima bintang atau pingat sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri layak diberi BPMUR;
  • Pasangan kepada Pegawai Perkhidmatan Awam yang turut hadir dalam Majlis-majlis Istiadat Pengurniaan Bintang dan Pingat sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri layak diberi BPMUR; dan
  • Pegawai Gred 41 dan ke atas dan dipanjangkan kepada kumpulan sokongan Gred 27 hingga Gred 40 yang dikehendaki bertugas di Parlimen / DUN adalah layak menerima kemudahan ini (SPP11/2008).
3. Apakah komponen Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi?

Pakaian Kebangsaan/ Dark Lounge Suit  bagi lelaki atau pakaian yang bersesuaian bagi wanita.

4. Berapakah kadar BPMUR?

Pegawai RM650.00 dan pasangan RM450.00

5. Apakah syarat bagi mendapat kemudahan Bayaran Pakaian Istiadat?

Kemudahan ini diberikan setiap tiga (3) tahun sekali. Pegawai yang telah diberi Bayaran Pakaian istiadat tidak layak menuntut Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi dalam tempoh tiga (3) tahun yang sama. Tuntutan bayaran balik BPMUR hendaklah disokong dengan resit dan maklumat jemputan upacara rasmi atau surat arahan bertugas di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Penggunaan kemudahan ini hendaklah dicatatkan dalam Buku Perkhidmatan Pegawai selaras dengan Perkara 11, PP16/2007.

7. Adakah pegawai yang telah menuntut Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi boleh membuat tuntutan terhadap Bayaran Pakaian Istiadat dalam tempoh tiga (3) tahun yang sama?

Pemberian kemudahan Bayaran Pakaian Istiadat adalah terikat dengan kemudahan Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi (BPMUR) selaras dengan ketetapan dalam PP16/2007. Pegawai yang telah diberi Bayaran Pakaian Istiadat tidak layak menuntut BPMUR dalam tempoh tiga (3) tahun yang sama dan sebaliknya.

8. Bagaimana cara membuat tuntutan kadar bagi pasangan?

Pegawai yang menerima bintang atau pingat dan membawa pasangan bukan pegawai perkhidmatan awam, tuntutan BPMUR bagi pasangannya hendaklah dikemukakan kepada jabatan pegawai. Manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Awam yang hadir sebagai pasangan kepada penerima bintang atau pingat, tuntutan BPMUR perlu dikemukakan kepada jabatan pegawai sendiri (SPP15/2007).

9. Apakah yang dimaksudkan dengan pasangan?

Pasangan pegawai bagi maksud BPMUR ialah suami atau isteri pegawai (SPP15/2007).

10.Adakah pegawai yang memakai Pakaian Batik Malaysia untuk bertugas harian di Parlimen atau DUN layak menuntut kemudahan BPMUR?

Pegawai adalah layak menuntut BPMUR sekiranya memakai Pakaian Batik Malaysia ketika bertugas harian pada hari Khamis. Ini adalah selari dengan surat edaran JPA rujukan JPA. 100.1/4/1(13) bertarikh 21 Ogos 2023 yang mewajibkan pemakaian Pakaian Batik Malaysia pada setiap hari Khamis.

11. Apakah definisi Batik Malaysia?

Definisi Batik Malaysia adalah seperti yang dinyatakan dalam surat edaran JPA rujukan JPA. 100.1/4/1(13) bertarikh 21 Ogos 2023.

Bantuan Upah Jahit

1. Apakah penambahbaikan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2014 (PP1/2014)?

Melalui pekeliling ini, Kerajaan telah memperkenalkan Bantuan Upah Jahit sebagai ganti kepada bayaran balik upah jahit dengan disokong resit. Oleh itu, pegawai tidak perlu mengemukakan resit sebagaimana pelaksanaan sebelum ini. Bantuan Upah Jahit akan terus dibayar kepada pegawai yang berkelayakan.

2. Siapakah pegawai yang layak menerima Bantuan Upah Jahit?

Pegawai Perkhidmatan Awam yang layak kemudahan pakaian seragam di bawah agensi yang menggunakan kaedah perolehan dengan membeli kain dan mengagihkan kepada pegawai bagi menguruskan sendiri jahitan.

4. Berapakah kelayakan pegawai untuk menerima Bantuan Upah Jahit?

Setiap pegawai layak dibayar Bantuan Upah Jahit terhad kepada tiga (3) pasang pakaian seragam dalam setiap tahun kalendar.

5. Adakah Ketua Jabatan perlu membuat Kew.8 untuk tujuan pembayaran Bantuan Upah Jahit?

Tidak perlu disediakan Kew.8. Lampiran A, PP1/2014 sudah memadai untuk tujuan pembayaran.

6. Apakah kod pembayaran bagi Bantuan Upah Jahit?

Kod Objek 15199 - Pelbagai Pemberian Termasuk Elaun Perkakas dan Elaun Pakaian.

7. Adakah keperluan untuk mencatat Bantuan Upah Jahit dalam penyata gaji?

Tidak perlu, oleh kerana bayaran dibuat secara baucar bayaran biasa.

8. Adakah keperluan untuk mencatat Bantuan Upah Jahit dalam Buku Rekod Perkhidmatan?

Tidak perlu dicatatkan dalam Buku Rekod Perkhidmatan.

9. Apakah tindakan Ketua Jabatan dalam melaksanakan PP1/2014?
  1. Mengenal pasti pegawai yang terlibat dan layak untuk diberi Bantuan Upah Jahit;
  2. Menyedia dan mengesahkan Senarai Pegawai Yang Layak Menerima Bantuan Upah Jahit dengan mengandungi butir-butir maklumat seperti format di Lampiran A, PP1/2014; dan
  3. Memastikan bekalan kain dibuat pada tempoh yang munasabah supaya pakaian seragam dapat disiapkan dalam waktu yang diperlukan.
10. Apakah tindakan Pusat Tanggungjawab dalam melaksanakan PP1/2014?
  1. Memastikan Bantuan Upah Jahit dibayar dalam tempoh dua (2) bulan selepas kain dibekalkan kepada pegawai;
  2. Memastikan Bantuan Upah Jahit disempurnakan dalam tahun kewangan semasa dan baki peruntukan dalam tahun kewangan semasa adalah mencukupi;
  3. Bagi pembayaran Bantuan Upah Jahit yang tidak dapat dibuat dalam tahun semasa, peraturan kewangan yang berkuat kuasa hendaklah dipatuhi; dan
  4. Membuat bayaran Bantuan Upah Jahit berdasarkan Senarai Pegawai Yang Layak Menerima Bantuan Upah Jahit seperti dalam Lampiran A, PP1/2014.
11. Bagaimanakah pembayaran Bantuan Upah Jahit sekiranya melibatkan pegawai yang dinaikkan pangkat/ baru dilantik/ akan bersara?

Bantuan Upah Jahit dibayar secara bersekadar(proportionate) mengikut bilangan bekalan kain dengan mengambil kira tarikh lantikan, tarikh naik pangkat atau tarikh bersara pegawai.