Pengenalan SME
Inisiatif Kemajuan Kerjaya Laluan Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert - SME) yang diperkenalkan oleh Kerajaan adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe11) mengenai pengukuhan pengurusan bakat untuk perkhidmatan awam masa hadapan. Di samping itu, Dokumen Kajian Separuh Penggal RMKe11 menggariskan kemajuan kerjaya pegawai perkhidmatan awam akan dilaksanakan dengan lebih telus berdasarkan merit dan prestasi dalam perkhidmatan.
Melalui pengwujudan laluan SME Kerajaan dapat mengiktiraf pegawai yang memiliki keupayaan intelektual, kepakaran yang tinggi serta berpengalaman luas dalam bidang kepakaran serta menjadi sumber rujukan dalam dan luar organisasinya ke arah memastikan pengekalan bakat terbaik dan berkepakaran tinggi dalam perkhidmatan awam.
Proses pengiktirafan pegawai SME dalam perkhidmatan awam bermula dari fasa perancangan iaitu penentuan bidang kepakaran, penetapan kriteria penilaian, unjuran keperluan dan seterusnya perakuan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat (LKP) untuk kelulusan bidang dan kriteria penilaian. Permohonan ke laluan SME boleh dikemukakan setelah bidang kepakaran diluluskan dan dipersetujui oleh LKP. Pegawai yang diiktiraf sebagai pegawai SME oleh Lembaga Kenaikan Pangkat (LKP) akan diberi pemangkuan dan seterusnya kenaikan pangkat pada 1 gred yang lebih tinggi secara Khas Untuk Penyandang (KUP) tertakluk melepasi tapisan kepakaran yang ketat. Pegawai SME perlu melaksanakan Penugasan Khas Pakar Bidang Khusus (SME Special Assignment – SSA) di samping tugasan hakiki berdasarkan jawatan bagi tujuan pengekalan dan peningkatan di laluan SME.
Dengan wujudnya pegawai SME yang berterusan menyumbangkan kepakaran dalam perkhidmatan awam, negara akan memperolehi manfaat jangka panjang melalui sumbangan kepakaran dalam perkhidmatan awam di samping memastikan berlakunya pemindahan kepakaran secara sistematik dan efektif dalam kalangan penjawat awam di bawah pelan penggantian dan pembangunan bakat perkhidmatan awam. Secara tidak langsung kebergantungan kepakaran daripada pihak luar dapat dikurangkan dan penjimatan kos dapat dihasilkan selaras dengan falsafah SME.
Kerajaan telah menguatkuasakan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian U.P.6.1.2 Kemajuan Kerjaya Laluan Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert – SME) pada 20 Disember 2016 yang bertujuan untuk memaklumkan garis panduan pelaksanaan laluan SME dalam perkhidmatan awam persekutuan. Pelaksanaan laluan SME ini turut dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun dan pelaksanaannya diperincikan menerusi surat edaran JPA bertarikh 12 September 2017.
Pautan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian U.P.6.1.2:
Pautan Surat Edaran Penjelasan Pelaksanaan Kemajuan Kerjaya Laluan Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert - SME) Di Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Kemajuan Kerjaya Laluan Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert – SME) Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan
- Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2016 : Kemajuan Kerjaya Laluan Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert – SME) Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan
- Surat Edaran Penjelasan Pelaksanaan Kemajuan Kerjaya Laluan Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert - SME) Di Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi :
Encik Nasrul Hakim bin Ghazali
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
03-8885 4059
Cawangan Special Unit For High potential and SME (SUPREME)
Bahagian Perkhidmatan, JPA
Cik Nur Aliah Nazurah binti Aminuddin Shah
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
03-8885 5749
Cawangan Special Unit For High potential and SME (SUPREME)
Bahagian Perkhidmatan, JPA