Tuesday, 19 March 2024
09 Ramadan 1445
bluegreengoldred

Article available only in Malay.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat Encik Mohamad Yazid Kamaruddin, bertajuk "Pesara Kakitangan GLC Dapat Pencen RM290" bertarikh 22 Oktober 2012 yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian.

Tidak dinafikan bahawa terdapat pesara yang terlibat dengan penswastaan dan diserapkan ke Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau sebagainya, mereka menerima amaun pencen yang agak kecil memandangkan tempoh perkhidmatan (yang boleh diambil kira) yang singkat dan gaji akhir sehari sebelum mereka diserapkan di dalam syarikat agak kecil.

Namun, harus dijelaskan juga bahawa mereka yang terlibat dengan penswastaan dan diserapkan ke GLC ini telah diberi opsyen sama ada mahu memilih ‘Skim Ala Kerajaan’ atau ‘Skim Syarikat’. Bagi mereka yang memilih Skim Ala Kerajaan tempoh dan gaji akhir semasa berkhidmat dengan syarikat akan diambil kira bagi tujuan pengiraan pencen dan ganjaran, manakala bagi ‘Skim Syarikat’ pula akan menawarkan gaji serta faedah yang lebih lumayan tetapi tempoh dan gaji akhir sewaktu berkhidmat dengan syarikat tidak diambil kira bagi tujuan pengiraan pencen dan ganjaran. Demi memelihara prinsip kesamarataan kepada semua pesara, Kerajaan tidak bercadang untuk meminda undang-undang berkenaan.

Bagi pesara yang memilih Skim Ala Kerajaan, mereka memperoleh hanya satu faedah persaraan (pencen, ganjaran, wang tunai gantian cuti rehat dan faedah perubatan) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan Kerajaan termasuk tempoh perkhidmatan dengan syarikat. Bagi pesara yang memilih Skim Syarikat pula, mereka memperoleh dua faedah iaitu faedah persaraan (pencen, ganjaran, wang tunai gantian cuti rehat dan faedah perubatan) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan Kerajaan serta faedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan syarikat.

Sebarang pertanyaan sila hubungi:

Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Pasca Perkhidmatan
Block C2, Complex C
62510 Putrajaya

Tel.: 03-8885 4475 / 4476 / 4477 / 4478
Fax: 03-8888 4028


Muat Turun: Pesara Kakitangan GLC Dapat Pencen RM290

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
01 November 2012