Tuesday, 19 March 2024
09 Ramadan 1445
bluegreengoldred

Article available only in Malay.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat pembaca Waris Penjawat Awam, Pahang Darul Makmur bertajuk 'Pencen Pesara Sedikit Wajar Diseragamkan' bertarikh 3 Januari 2013 dan Ismail, Muar Johor bertajuk 'Kaji Semula Pencen Bekas Penjawat Awam' bertarikh 12 Januari 2013 yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian.

JPA sentiasa mengambil berat akan kebajikan para pesara Perkhidmatan Awam. Walau bagaimanapun buat masa ini, bagi pesara yang jumlah tahun perkhidmatannya kurang daripada 25 tahun (termasuk mereka yang terlibat dengan Dasar Pengkorporatan/Pengasingan/Penswastaan), pihak JPA masih belum ada sebarang cadangan ke arah kadar pencen yang seragam.

Tidak dinafikan bahawa terdapat pesara yang terlibat dengan penswastaan dan diserapkan ke Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau sebagainya, mereka menerima amaun pencen yang agak kecil memandangkan tempoh perkhidmatan (yang boleh diambil kira) yang singkat dan gaji akhir sebelum penyerapan ke dalam syarikat adalah rendah.

Bagi pesara yang terlibat dalam Dasar Pengkorporatan/Pengasingan/Penswastaan, sebenarnya mereka telah memperoleh dua faedah, iaitu faedah persaraan (pencen, ganjaran dan faedah perubatan) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan Kerajaan serta faedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan syarikat. Bagi pesara Kerajaan yang biasa, mereka memperoleh hanya satu faedah persaraan (pencen, ganjaran, wang tunai gantian cuti rehat dan faedah perubatan) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan Kerajaan. Demi memelihara prinsip kesamarataan kepada semua pesara, Kerajaan belum bercadang untuk meminda undang-undang berkenaan.

Sungguhpun demikian, golongan pesara ini sentiasa diambil kira apabila ada semakan gaji ataupun penyelarasan yang dilaksanakan untuk kemudahan para pesara. Selain daripada kadar pencen, golongan pesara ini menikmati kemudahan lain yang sama sepertimana yang diperolehi oleh pesara yang berkhidmat 25 tahun atau lebih.

Sebarang pertanyaan sila hubungi:

Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Pasca Perkhidmatan
Blok C2, Kompleks C
62510 Putrajaya

Tel.: 03-8885 4475 / 4476 / 4477 / 4478
Faks: 03-8888 4028

 

Corporate Communications Unit
Public Service Department Malaysia
Putrajaya
16 January 2013